PERSIAPAN rapi sedang disusun ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K Devan menjelang aksi Liga Super antara pasukan kendaliannya dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Sabtu.
Kemenangan pastinya diharapkan buat skuad Jang memandangkan mereka hanya mengumpul satu mata daripada lima aksi terakhir dalam liga.
Meskipun memahami jurang kualiti dengan pihak lawan, usaha semestinya perlu dicurahkan di Stadium Darul Aman, Kedah untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.
Berdasarkan perkongsian di laman media sosial kelab, Negeri Sembilan FC dilihat sudah kembali berlatih selepas bercuti untuk beberapa minggu berikutan perlawanan di peringkat antarabangsa.
Kelibat hampir kesemua bintang skuad Jang dilihat berada di padang latihan, termasuk kapten pasukan, Zaquan Adha Abd Radzak yang sebelum ini mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL).
Skuad Jang dilihat sudah kembali ke padang latihan untuk aksi Liga Super selepas ini. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Ia sudah tentu akan menyuntik semangat buat pasukan yang kini berada di tangga kesembilan Liga Super terbabit untuk membawa pulang mata berharga.
Namun, kisah berbeza didengari apabila beberapa hari lepas, pemain sayap skuad Jang, Sean Selvaraj berkongsi satu foto di laman Instastory peribadinya.
Dalam gambar berkenaan, kelihatan bekas penyerang Selangor FC itu sedang memerhati kualiti padang yang sedikit berlecak di samping penjaga gol, Tauffiq Ar-Rasyid.
Perkongsian berkenaan sempat ditangkap layar beberapa penyokong bola sepak tanah air yang kemudiannya dikongsikan di laman Twitter No Context Bola Malaysia.
Hal tersebut sudah tentunya menarik perhatian dengan rata-rata peminat setia skuad Jang berasakan padang latihan itu bukanlah yang sering digunakan pasukan kendalian Devan.
Sean serta Tauffiq sedang memerhatikan keadaan semasa padang latihan di Sekolah King George V, Seremban.
"Berlatih di padang Sekolah King George V (KGV), Seremban sahaja ke? Baguslah tu," kata Ruz Ar 35.
"Dah kenapa berlatih di padang KGV pula ni?" kata ADZ 1F.
Situasi berkenaan turut menarik perhatian laman peminat Negeri Sembilan FC di Twitter, The Jangs N9 yang berasakan lokasi latihan pasukan diubah berbanding awal musim lalu.
"Latihan pada petang semalam (Isnin) di KGV, adakah padang di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tidak boleh digunakan?" soalnya.
Sebelum ini, Negeri Sembilan FC turut dikatakan sebagai salah sebuah kelab Liga Super yang berdepan masalah gaji sehingga berlakunya desakan untuk turun ke padang latihan.
Isu berkenaan juga dikatakan memberi kesan terhadap prestasi mengecewakan pasukan yang semakin sukar untuk berada dalam kelompok pasukan lebih baik dalam carta liga.
Bagaimanapun, pihak pengurusan kelab masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan meskipun desakan demi desakan dibuat penyokong yang mengharapkan jawapan sebenar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram