Ketua pasukan, bintang naturalisasi dan penyerang Thailand antara 12 pemain dilepaskan TFC


  • Podium
  • Ahad, 31 Dis 2023

Terengganu melepaskan 12 pemain pada akhir musim 2023. — Facebook/Terengganu FC

KELAB Liga Super, Terengganu FC memilih untuk berpisah dengan beberapa pemain mereka selepas tamat musim 2023.

Musim 2023 menyaksikan Terengganu menamatkan saingan Liga Super di kedudukan pertengahan liga sambil layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia. Selain itu, mereka juga tidak tewas dalam perjalanan Piala AFC walaupun terkandas di peringkat kumpulan.

Pada Ahad, Terengganu mengambil keputusan untuk melepaskan 12 pemain dengan beberapa nama besar menjadi tumpuan.

Sony Norde, Habib Haroon, Sardor Kulmatov antara nama-nama pemain import yang dilepaskan Terengganu selepas tamat musim 2023.

Satu lagi nama iaitu penyerang Thailand, Adisak Kraisorn turut dilepaskan oleh Terengganu selepas gagal memberikan impak yang diharapkan. Keputusan tersebut pastinya disambut baik oleh penyokong skuad Penyu yang jelas tidak senang dengan prestasinya.

Selain itu, terdapat beberapa pemain tempatan yang turut dilepaskan oleh Terengganu seperti Rahmat Makasuf, Azarul Nazarith serta Adib Zainuddin.

Malah, pemain naturalisasi kebangsaan iaitu Liridon Krasniqi turut dilepaskan Terengganu selepas kontrak jangka pendeknya tamat.

Situasi tersebut pastinya menguatkan lagi spekulasi mengatakan dia akan menyertai semula Tan Cheng Hoe sekali gus membarisi skuad Selangor FC musim depan.

"Terengganu Football Club ingin mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya buat seluruh pemain yang telah bersama kelab ini dan bakal meninggalkan kelab untuk musim hadapan.

"Antara para pemain yang bakal meninggalkan kelab adalah Adib Zainuddin, Azarul Nazarith, Rahmat Makasuf, Habib Haroon, Liridon Krasniqi, Jordan Mintah, Adisak Kraisorn, Omid Nazari, Sardor Kulmatov, Mohamad Shafawi, Fazli Ghazali dan Sony Norde," kata Terengganu dalam kenyataan mereka.

Terengganu pada musim depan dilaporkan akan mengurangkan perbelanjaan mereka terutamanya melibatkan pemain import. Dilaporkan, juara Piala FA 2011 itu tidak akan memenuhkan kouta pemain import mereka musim depan.

Dalam pada itu, pertahanan Harimau Malaya, Azam Azmi akan kekal bersama mereka buat semusim lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram