DALAM tiga perlawanan terakhir Kelantan FC dalam kesemua pertandingan, Kelantan FC berada dalam situasi cukup teruk apabila dibolosi sebanyak 29 kali secara keseluruhan.
Bermula dengan kekalahan 0-8 kepada Terengganu FC dalam 'Derby Pantai Timur', situasi itu berterusan ketika aksi timbal balik Piala Malaysia selepas mereka tewas dengan skor 0-10 kepada Johor Darul Takzim (JDT).
Nasib memalukan berkenaan tidak terhenti di situ apabila skuad The Red Warriors (TRW) sekali lagi menjadi mangsa kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super di laman sendiri.
Meskipun mendahului dengan dua gol, kerapuhan benteng pertahanan mudah dihukum pasukan pelawat apabila skuad Gergasi Merah merobek gawang Kelantan FC sebanyak 11 kali sepanjang 90 minit permainan.
Keputusan-keputusan berkenaan jelas sukar diterima penyokong kelab Pantai Timur tersebut apabila mereka sudah tidak dapat menahan lagi kekecewaan mengenai nasib pasukan itu.
Kelantan FA pernah berada di kemuncak bola sepak tanah air satu ketika dahulu.
Di samping mengalami kekalahan dengan jurang skor yang besar, suasana yang melanda pasukan berkenaan turut menimbulkan rasa kurang senang memandangkan terdapatnya keretakan antara pihak pengurusan dan pemain.
Hadir sama untuk menyatakan kekecewaanya mengenai situasi Kelantan FC adalah legenda pasukan itu, Badri Radzi yang menyampaikan satu penulisan khas buat penyokong menerusi laman Instagram peribadinya.
"Kenangan tak sebatas ingatan semata. Di sebalik susah senangnya, kenangan juga sering memberikan pelajaran berharga. Dan sekarang, apa sudah jadi dengan TRW?
"Ingatlah ketika kita meraih sedikit kejayaan, 2023 teruskan menjadi pasukan kerdil namun mempunyai cita-cita yang realistik dan selari dengan kemampuan yang ada," tulisnya.
Hantaran itu dibuat berserta satu klip montaj yang membandingkan situasi antara Kelantan FC musim ini dengan pada 2012 ketika pasukan tersebut dianggap sebagai salah sebuah kelab terbaik tanah air.
Ketika itu, Badhri merupakan tonggak utama skuad TRW apabila dia diberikan peranan sebagai kapten dengan rata-rata penyokong pasukan berkenaan lebih mengenalinya dengan nama panggilan 'Piya'.
Selain anak jati Kota Bharu, Kelantan itu, beberapa pemain lain turut disanjung ketika zaman kegemilangan pasukan, termasuk Nor Farhan Mohamad serta Khairul Fahmi Che Mat.
Antara kenangan manis yang pernah diraih Kelantan FA pada musim berkenaan ialah kejuaraan untuk menjulang treble selepas memenangi tiga trofi di peringkat domestik.
Tetapi, berikutan isu pengurusan beberapa tahun selepas itu, kelab tersebut bergelut dalam bayang-bayang sendiri sehingga mereka tersingkir ke kancah Liga Perdana pada 2018. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram