"POSTER ini membuatkan saya mengimbau dan berfikir."
Itulah ciapan yang dimuat naik oleh bekas ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal apabila melihat poster Muhammad Faisal Abdul Halim bersama bintang Korea Selatan, Son Heung-min baru-baru ini.
Poster itu dimuat naik oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menjelang perlawanan Malaysia menentang Korea Selatan di Stadium Al-Janoub pada 25 Januari nanti.
Rajagobal menyatakan apabila beliau melihat poster itu dari pandangan kaca mata sebagai bekas pemain dan jurulatih membuatkan dirinya berinspirasi dan bercita-cita tinggi untuk berada di pentas tertinggi Asia.
"Sebagai bekas pemain, saya akan berinspirasi untuk berada di pentas (Piala Asia) ini.
"Sebagai jurulatih sudah tentu ini adalah mimpi dan aspirasi, kita (Malaysia) cuba untuk mencabar dengan keadaan berbeza.
"Sebagai penyokong, saya akan menghitung hari sehingga hari pertama perlawanan Malaysia," katanya.
Ciapan yang dimuat naik bekas ketua jurulatih kebangsaan itu.
Untuk rekod, Rajagobal pernah membantu Malaysia menjuarai Piala AFF pada 2010 dengan barisan-barisan legenda seperti Mohd Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Safiq Rahim dan Mohd Amri Yahyah.
Dalam edisi Piala AFF 2010 itu, Safee Sali berjaya dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol.
Itu merupakan satu-satunya piala yang dimenangi skuad kebangsaan dalam kejohanan 'Piala Dunia Asia Tenggara' itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram