Jimat bajet RM17 juta, JDT pernah ikat striker gempak main untuk 3 kelab elit Liga Super


  • Podium
  • Sabtu, 30 Dis 2023

Rangel (dua dari kanan) pernah menabur bakti bersama skuad JDT enam tahun lalu.— Facebook/JDT

KANCAH bola sepak tanah air sering dirancakkan dengan kehadiran pemain-pemain import berkualiti.

Seperti yang diketahui, setiap pasukan Liga Malaysia (Liga-M) memiliki barisan pemain import yang cukup berkualiti untuk menggalas tanggungjawab membantu kelab masing-masing.

Enam tahun lalu, pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) pernah mengikat penyerang dari Brazil, Paulo Rangel.

Skuad Harimau Selatan mengikat bekas penyerang berbisa tersebut selama dua tahun, sekali gus menyertai barisan pemain import sedia ada iaitu Hariss Harun, Jorge Pereyra Diaz dan Marcos Antonio ketika itu.

Rangel

Sebelum diikat oleh skuad JDT, Rangel pernah beraksi bersama Perak FC, Selangor FC dan Terengganu FC. — Facebook/JDT

Sebelum menabur bakti bersama kelab JDT ketika itu, Rangel pernah berkhidmat dengan beberapa kelab Liga M iaitu Perak FC, Selangor FC dan Terengganu FC.

Rangel dilaporkan berkata, dirinya amat bertuah kerana dapat menyertai pasukan terbaik Liga M serta Asia dan sedia memberi komitmen dalam setiap perlawanan.

Meskipun berada dalam skuad terbaik, Rangel dilaporkan berkata, dia perlu bekerja keras dalam latihan untuk meningkatkan prestasinya.

Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilaporkan berkata, Rangel merupakan aset penting skuad tersebut.

Tambahan pula, pengambilan Rangel ketika itu berjaya menjimatkan bajet kelab sebanyak RM17 juta kerana pemain berkenaan diikat secara percuma selepas menjadi ejen bebas.

'Disangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari'. Rangel sebaliknya dilihat sukar menyesuaikan diri dengan corak permainan JDT sekali gus gagal membuktikan kehebatannya seperti mana ketika beraksi bersama Perak FC, Selangor FC dan Terengganu FC sebelum itu.

Dia akhirnya 'diturunkan pangkat' beraksi bersama JDT II semusim kemudian sebelum kembali ke Brazil beraksi bersama Lodrina.

Namun, Rangel tetap kembali ke saingan Liga M apabila menyarung jersi Kedah dan sempat mencetak gol ketika berdepan bekas pasukannya, Selangor pada 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram