Annuar Musa pernah gerak solo raih dana, selamatkan Kelantan daripada 'bungkus'


  • Podium
  • Selasa, 02 Jan 2024

Walaupun tidak lagi bersama TRW tapi Annuar masih membantu Kelantan. — Agensi

JIKA berbicara mengenai bola sepak Kelantan, pastinya sukar untuk tidak melupakan nama Tan Sri Annuar Musa.

Nama yang cukup disayangi oleh kalangan penyokong The Red Warriors (TRW), Annuar telah membawa era kegemilangan bola sepak Kelantan pada awal 2010-an.

Gelaran treble yang diraih pada 2012 pastinya tidak akan dilupakan para penyokong TRW. Namun selepas itu, Kelantan FC mula jatuh dan pernah terperangkap dalam situasi sehingga tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Super.

Pada 2017, Kelantan berpotensi untuk tidak bertanding dalam saingan Liga Super kerana mengalami masalah kewangan. Ketika itu, Kelantan yang melalui proses transisi pemilikan kelab daripada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) kepada orang perseorangan.

Kelantan yang dikemudi oleh Presiden KAFA ketika itu iaitu Datuk Afandi Hamzah gagal untuk mendapatkan dana secukupnya untuk beraksi di Liga Super.

annuar musa

Annuar Musa merupakan bapa bola sepak moden Kelantan. — Agensi

Namun muncul Annuar untuk menyelamatkan Kelantan. Walaupun dia sudah tidak mengetuai KAFA, tetapi Annuar hadir dengan inisiatif untuk menyelamatkan pasukan kesayangannya dengan mengadakan makan malam tertutup bersama ketua-ketua syarikat untuk mendapatkan dana.

Tujuan Annuar berbuat demikian untuk memastikan Kelantan terus kompetitif dalam Liga Super walaupun pada hakikatnya mereka menamatkan saingan di tempat kesembilan.

"Masa terlalu singkat untuk mendapatkan pemain import. Tanpa pemain import, saya rasa Kelantan akan menjadi pasukan belasahan.

"Oleh itu, saya cadangkan kepada KAFA untuk dapatkan pemain import sambil saya usahakan kewangannya, asalkan ia tidak terlalu mahal. Saya cuma perlukan sedikit waktu," kata Annuar.

Baca lagi: Hukuman sudah dapat tapi pemilik Kelantan perlu selesaikan hutang — Pekan Ramli

Melangkah ke hari ini, Kelantan masih lagi terpalit dengan isu kewangan dengan tahap lebih teruk di bawah pemilikan Norizam Tukiman atau Zamsaham.

Kelantan mencatatkan rekod memalukan dalam Liga Super apabila memboloskan lebih daripada 100 gol dalam satu musim. Selain itu, mereka turut dinafikan peluang beraksi pada musim depan.

Masa ini, mungkin ramai penyokong Kelantan mengharapkan kembalinya Annuar untuk menyelamatkan Kelantan. Namun begitu, kepulangannya tidak mungkin akan berlaku lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram