SKUAD Malaysia selamat tiba di Doha, Qatar pada Isnin dengan misi untuk memastikan kempen Piala Asia 2023 berjalan dengan jayanya.
Harimau Malaya yang dibimbing oleh Kim Pan-gon bakal berdepan tiga cabaran sengit dalam misi untuk mara ke pusingan kalah mati.
Dalam pertarungan kumpulan E, Malaysia akan bertemu Jordan pada 16 Januari sebelum berdepan Bahrain empat hari kemudian. Mereka kemudiannya akan bertemu jaguh Asia, Korea Selatan pada aksi terakhir kumpulan pada 25 Januari.
Walaupun berdepan tugasan sukar, namun kehadiran Harimau Malaya bukanlah sekadar ingin melengkapkan jumlah pasukan bertanding semata-mata.
Dalam video yang tular di X (Twitter), penyerang kebangsaan iaitu Darren Lok berkata, Malaysia sedar kesemua lawan yang dihadapi bukanlah mudah untuk ditewaskan namun Harimau Malaya bersedia untuk bertempur.
"Ia merupakan sebuah kumpulan yang sukar, setiap pasukan dalam pertandingan ini adalah kuat.
"Seperti yang saya katakan, kami perlu percaya, kami berjaya sampai ke peringkat ini dengan baik. Oleh itu, kami ke sini untuk bertarung dan berikan mereka cabaran hebat," kata Lok sewaktu ditemui media Qatar, Alkass TV Sports.
Baca Lagi: Tiada masalah untuk Malaysia layak ke pusingan 16 Piala Asia — Natxo Insa
Dalam masa yang sama, Lok juga mengatakan kehadiran Malaysia di Qatar adalah untuk membuktikan yang Harimau Malaya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama-sama pasukan-pasukan Asia yang lain.
"Malaysia sudah lama tidak berada dalam kejohanan ini. Kami sedar Piala Asia adalah satu kejohanan yang cukup besar.
"Kami lakukan dengan baik untuk sampai ke sini. Dan apabila di sini, kami ingin menikmatinya, dan kami ingin buktikan kepada semua yang kami berhak berada di sini. Semuanya telah bersedia dan teruja mengenainya," ujar Lok.
Lok merupakan sebahagian daripada barisan serangan negara selain dibarisi oleh Faisal Halim dan Arif Aiman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram