KETUA Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail menyifatkan tindakan yang dikenakan ke atas Kelantan FC adalah wajar demi menjaga kepentingan hak pemain.
Keputusan badan bebas First Instance Body (FIB) untuk tidak memberikan lesen kebangsaan kepada Kelantan jelas menggambarkan kelemahan kelab tersebut dalam menjaga kebajikan pemain sehingga culas dalam pembayaran gaji.
"PFAM sebagai badan yang sentiasa memperjuang hak pemain dan keputusan yang diambil oleh FIB terhadap status perlesenan Kelantan adalah satu tindakan yang selari dengan kriteria perlesenan yang sewajarnya dipenuhi oleh mana mana kelab yang ingin terus bersaing di dalam Liga Super.
Menurut Izham, keputusan FIB itu jelas menunjukkan Malaysian Football League (MFL) bergerak secara profesional mengikut laras kriteria-kriteria yang ditetapkan dan tidak berat sebelah dalam memastikan kelab yang ingin bertanding di saingan tertinggi liga bola sepak Malaysia ini benar-benar layak serta stabil terutama dari sudut kewangan.
Izham (tengah) berasakan tindakan hukuman terhadap Kelantan adalah wajar. — Facebook/PFA Malaysia
Tambahnya lagi, semua kelab bola sepak yang bertanding seharusnya lebih peka dan mengambil langkah proaktif terutamanya dalam meningkatkan kewangan kelab bagi mengelakkan masalah gaji tertunggak yang berlaku saban tahun.
"Antara salah satu faktor yang mendasari kriteria perlesenan yang perlu diperhalusi oleh mana-mana kelab yang ingin terus bersaing di dalam Liga Super adalah kestabilan daripada sudut kewangan untuk menjamin isu seperti tunggakan gaji tidak akan terus berlarutan dan mengakibatkan pemain profesional terjejas secara langsung akibat daripada perkara ini."
"PFAM berharap bahawa perkara ini diambil berat oleh semua pihak dalam memastikan dinamik pengurusan kelab bola sepak di dalam negara kita akan dapat terus ditingkatkan daripada semasa ke semasa dan menekankan kepentingan menjaga hak pemain pada setiap masa,” tambahnya.
BACA LAGI: Annuar Musa selamatkan Kelantan daripada 'bungkus'
FIB pada Mesyuarat Pelesenan Kelab yang diadakan secara atas talian pada 31 Disember 2023 telah membuat keputusan untuk tidak memberikan lesen kebangsaan kepada Kelantan selepas kelab berpangkalan di Kota Bharu itu gagal untuk melengkapkan dua Kriteria Kewangan walaupun telah diberi tempoh masa lanjutan sehingga 31 Disember.
Walau bagaimanapun, Kelantan diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan kepada FIB sebelum tarikh akhir pada 8 Januari 2024 terhadap keputusan FIB yang menolak permohonan mereka mendapatkan lesen kebangsaan. — MFL
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram