Tak jadi ke Penang, khidmat Devan ditagih Melaka andai tinggalkan skuad Jang


  • Podium
  • Selasa, 02 Jan 2024

Devan mempunyai reputasi cukup baik selepas membawa pasukan yang kurang berkualiti sepanjang kariernya. — Facebook/Negeri Sembilan FC

MESKIPUN mengalami isu pengurusan dan tunggakan gaji, pengendali Negeri Sembilan FC, K Devan masih memberikan usaha terbaik dalam membantu pasukannya itu.

27 mata yang dikutip daripada 26 perlawanan menyaksikan mereka berada di tangga kesembilan Liga Super dengan kedudukan itu masih boleh diterima melihat kepada kualiti pemain dimiliki.

Jadi, tidak hairanlah apabila terdapat khabar angin mengatakan beberapa pasukan tempatan bersedia untuk menyambar khidmatnya yang cukup berpengalaman.

Sebelum ini, kecoh di media sosial mengatakan kelab Utara tanah air, Penang FC berhasrat untuk melantiknya sebagai ketua jurulatih selepas mereka juga bergelut sepanjang musim.

Bagaimanapun, sentuhan pengendali sementara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli seperti menutup peluang buat Devan mengendalikan skuad Harimau Kumbang pada 2024.

Tetapi, dalam perkembangan baharu, sebuah pasukan bawahan, Melaka FC dilaporkan berminat untuk mendapatkan pengendali berusia 56 tahun terbabit.

1945476

Skuad Jang menamatkan saingan Liga Super di tangga kesembilan musim ini. Facebook/Negeri Sembilan FC

"K Devan dijangka pengendali baharu Melaka FC yang beraksi di Liga M3," kata wartawan terkenal tanah air, Hafizal Hamad dalam satu ciapan di Twitter peribadinya.

Sebelum ini, skuad Hang Tuah dilaporkan bakal menyertai divisyen teratas bola sepak tanah air berikutan kegagalan Kelantan FC mendapatkan lesen kebangsaan.

Bagaimanapun, perkara terbabit masih belum disahkan mana-mana pihak, sekali gus meletakkan pasukan terbabit terus berada di Liga M3 untuk saingan akan datang.

Pada 2022, skuad Hang Tuah beraksi dalam Liga Super, namun terpaksa diturunkan berikutan kegagalan mereka melunaskan isu tunggakan gaji dialami pemain dan staf kejurulatihan.

Dalam saingan Liga M3, pasukan tersebut sekali lagi bergelut apabila mereka hanya berada di tangga ke-10 daripada 13 pasukan dengan hanya 31 mata diraih.

Kehadiran Devan dilihat mampu mengubah hala tuju pasukan dengan pengalamannya mampu membantu Melaka FC kembali muncul sebagai antara pasukan dihormati. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram