KETIKA ini, posisi penjaga gol skuad Bawah 23 Tahun (B-23) masih belum dimiliki sesiapa dengan beberapa pemain terus merebut peluang masing-masing.
Ubi muda Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim boleh dikatakan sebagai antara calon utama apabila dia sudah diberikan peluang beraksi dalam Liga Super.
Selain itu, pemain pinjaman Negeri Sembilan FC, Sikh Izhan Nazrel juga sesuai untuk posisi tersebut selepas satu musim yang cemerlang bersama skuad Jang.
Namun, baru-baru ini, persoalan mengenai siapakah yang paling layak menjadi pertahanan terakhir skuad muda negara terjawab selepas aksi cemerlang Azim Al-Amin dalam aksi persahabatan menentang China B-23 Sabtu lalu.
Azim Al-Amin mempamerkan prestasi cemerlang ketika aksi persahabatan baru-baru ini. — Facebook/FAM
Dia yang diberikan kepercayaan dalam perlawanan pertama kendalian Juan Manuel Garrido beraksi cukup baik dalam menggagalkan percubaan demi percubaan pihak lawan.
Kehadirannya yang membantu Harimau Muda meraih kemenangan tipis 1-0 menempa nama Azim sebagai penjaga gawang utama pasukan negara menjelang aksi Piala Asia B-23.
Impak daripada kecemerlangan itu menyaksikan nama pemain berusia 22 tahun berkenaan kian meningkat sehingga bekas pemain kebangsaan, Akram Mahinan turut memujinya.
Jadi, adalah tidak mengejutkan sekiranya terdapat mana-mana pasukan Liga Super yang berminat untuk mendapatkan Azim dengan status pinjaman mahupun secara kekal daripada Kuala Lumpur (KL) City FC.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga destinasi terbaik buat penjaga gol tersebut sekiranya dia meneruskan kecemerlangan di atas padang.
1. Negeri Sembilan FC
Kehilangan Syihan Hazmi merupakan satu tamparan hebat buat Negeri Sembilan FC apabila pemain berkenaan memilih untuk menyertai Johor Darul Takzim (JDT) awal musim lalu.
Jadi, dalam mengisi kehilangan berkenaan, skuad Jang membuat keputusan mendapatkan Sikh Izhan secara pinjaman dari Selangor FC.
Keputusan itu boleh dianggap sebagai satu langkah cukup baik apabila dia mencipta beberapa tepisan cukup berkualiti dalam Liga Super serta dua pertandingan domestik yang lain.
Sikh Izhan dikhabarkan bakal kembali ke pangkuan Selangor FC musim depan. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Meskipun Negeri Sembilan FC dibolosi sebanyak 49 kali dalam Liga Super, ia tidak memberi gambaran sebenar mengenai prestasi Sikh Izhan yang memegang rekod tepisan terbanyak (84) berbanding penjaga gol lain.
Prestasi memberangsangkan itu pasti akan menyaksikannya kembali ke pangkuan Selangor FC dengan laporan menyebut dia turut dirisik beberapa pasukan lain.
Oleh itu, sekiranya skuad kendalian K Devan mahu mencari pengganti, Azim merupakan calon terbaik meskipun pemain itu hanya meraih tiga penampilan Liga Super musim ini.
Pemain KL City FC itu pastinya tertarik dengan peluang berlatih di bawah jurulatih penjaga gol, Megat Amir Faisal yang membentuk Sikh Izhan dan Syihan menjadi seorang yang berkualiti.
2. Kedah Darul Aman FC
Awal musim lalu, ramai pihak cukup teruja apabila Kedah Darul Aman (KDA) FC mengumumkan kehadiran bekas penjaga gol Petaling Jaya (PJ) City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
Pemain yang pernah beberapa kali dipanggil ke kem latihan kebangsaan itu cukup dikenali dengan kecekapannya serta kebolehannya untuk berkomunikasi bersama rakan sepasukan.
Bagaimanapun, prestasi tidak menentu daripada pemain berkenaan menyaksikannya beberapa kali dipersalahkan, termasuk ketika skuad Sang Kenari tersingkir dari saingan Piala Malaysia.
Kalamullah mempunyai satu musim yang agak sukar bersama skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Hal itu menyebabkan beberapa desakan mula timbul dengan penyokong Hijau Kuning mula mendesak supaya KDA FC mencari seorang penjaga gol baharu musim depan.
Jadi, Azim Al-Amin merupakan salah seorang pilihan terbaik berdasarkan prestasinya bersama skuad senior mahupun belia KL City FC.
Usianya yang muda juga akan membolehkannya diletakkan sebagai penjaga gol ketiga di belakang Kalamullah dan Ifwat Akmal Chek Kassim.
Tetapi, khabar angin mengatakan KDA FC berminat untuk mendapatkan Rahadiazli selepas pemain terbabit pernah berada di bawah kendalian pengendali semasa Sang Kenari, Nafuzi Zain.
3. Sri Pahang FC
Penggiliran penjaga gol pada penghujung musim menjejaskan harapan Sri Pahang FC untuk mencatatkan rekod pertahanan lebih baik di samping berada di tangga lebih tinggi dalam carta Liga Super.
Meskipun pemain pinjaman, Izham Tarmizi beraksi dengan konsisten, prestasi tidak konsisten menyaksikan tempatnya hilang kepada Zarif Irfan Hashimuddin.
Jadi, perubahan pastinya mahu dilakukan ketua jurulatih, Fandi Ahmad yang dilihat akan kekal mengendalikan skuad Tok Gajah untuk semusim lagi.
Masa depan Izham (kanan) bersama skuad Tok Gajah masih belum diputuskan. — Facebook/Sri Pahang FC
Seorang penjaga gol berkualiti pastinya dimahukan pasukan Pantai Timur itu selain beberapa posisi lain juga perlu ditambah baik pada jendela perpindahan kali ini.
Azim Al-Amin boleh dianggap sebagai salah seorang pilihan terbaik selepas pemain terbabit mempunyai potensi untuk menjadi seorang penjaga gawang berkualiti pada masa akan datang.
Sekiranya pihak pengurusan dapat membawanya secara pinjaman, terdapat kemungkinan besar benteng pertahanan Sri Pahang FC akan lebih kukuh musim depan.
Bagaimanapun, Izham yang dikhabarkan bakal dikekalkan pastinya akan menutup ruang buat Azim dengan pemain terbabit pastinya mahu mencari minit permainan dengan lebih kerap. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram