TANGGAL 2 Disember ini akan menjadi perlawanan epik antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Selangor FC dengan kedua-dua kuasa besar bola sepak tanah air itu mempunyai matlamat sama pada musim ini iaitu misi mendapatkan slot ke pentas Asia pada tahun depan.
Dibezakan dengan dua mata sahaja antara skuad Hijau Kuning (tangga ketiga) dan Selangor FC (tangga kedua), skuad Merah Kuning dilihat menjadi pilihan utama selepas mereka konsisten mempamerkan rentak terbaik dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.
Manakala, pasukan Hijau Kuning pula membuat larian pecut di akhir pusingan apabila skuad Utara tanah air itu tidak merekodkan kekalahan sejak tewas 0-1 di tangan Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super pada Julai lalu.
Pertembungan sengit antara kedua-dua pasukan itu bagi meraih slot terakhir ke Asia musim depan membuatkan ramai penyokong meramal bahawa Stadium Darul Aman, Alor Setar pasti dibanjiri dengan warna Hijau Kuning mewakili Kedah dan gabungan Merah Kuning yang sinonim dengan Selangor FC.
Jika disoroti semula, senario perlawanan penentuan bagi merebut tiket ke pentas Asia juga pernah berlaku dalam beberapa musim lalu dengan menyaksikan ada pasukan tewas pada minit-minit akhir walaupun sebelumnya mendahului mata.
1) Negeri Sembilan lepaskan peluang (2022)
Kesebelasan utama skuad Jang pada musim 2022. — Facebook/NSFC
Pasukan Negeri Sembilan (NSFC) pada musim 2022 diibaratkan seperti skuad emas dengan pemain utamanya ketika itu seperti Khuzaimi Piee dan Syihan Hazmi berhasil mencuri perhatian pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Skuad Jang Hobin memulakan kempen Liga Malaysia (Liga M) musim 2022 bermula dengan sangat baik sehingga pernah menghuni kedudukan pertama dalam liga pada minggu ketujuh perlawanan walaupun pada awalnya bermula di tangga keenam.
Negeri Sembilan hadir dengan status sebagai pasukan underdog daripada saingan Liga Perdana 2022 namun berhasil mencipta kejutan demi kejutan sehingga disebut-sebut antara pasukan pesaing terdekat untuk mewakili Malaysia ke Asia.
Namun, kekalahan 0-2 pada perlawanan akhir menentang Sri Pahang FC menyebabkan pesaing terdekat skuad Jang iaitu Sabah FC berhasil mendapatkan tiket ke Piala AFC walaupun aksi akhir menyaksikan The Rhinos tewas 0-3 di tangan Johor Darul Takzim (JDT).
Skuad kendalian K.Devan hanya dibezakan satu mata dengan Sabah FC yang mengumpul 42 mata pada aksi akhir Liga Super 2022 dan akhirnya terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di pentas Piala AFC pada musim ini.
2) Penentuan dua kuasa besar Utara tanah air (2021)
KDA FC ketika menentang Penang FC pada musim 2021. — Agensi
Saingan Liga Super musim 2021 adalah seperti tahun kemuncak buat dua pasukan Utara tanah air iaitu KDA FC dan Penang FC, yang mana kedua-dua kelab berkenaan bersaing sesama sendiri untuk menghuni kedudukan kedua bagi mendapat slot ke Piala AFC.
Penang FC di bawah kendalian Tomas Trucha memulakan kempen dengan agak suram apabila menghuni kedudukan kelapan pada minggu ketiga namun percaturan pengendali dari Republik Czech itu membuahkan hasil bermula minggu kelima memperbaiki kedudukan naik ke tangga keempat.
Penyokong Harimau Kumbang menjadi saksi peluang ke pentas Asia terlepas begitu sahaja apabila Penang berkongsi satu mata dengan Terengganu walaupun sebelumnya merekodkan lima kemenangan berturut-turut.
Peluang Penang FC untuk ke pertandingan peringkat Asia turut terpadam selepas Kuala Lumpur (KL) City FC mencipta kejutan menjuarai Piala Malaysia sekali gus melayakkan mereka ke kejohanan Piala AFC 2022.
Seteru Harimau Kumbang pula, KDA FC mengalami turun naik prestasi dalam lima perlawanan terakhir namun aksi akhir liga bertemu Melaka United dan beraksi laman sendiri digunakan sebaiknya untuk merebut tiga mata berharga.
Rentetan memiliki kelebihan dua mata daripada skuad Harimau Kumbang, Kedah yang ketika itu dibimbing pengendali dari Singapura, Aidil Sharin Sahak berhasil meneruskan perjuangan ke Piala AFC di musim 2022.
3) Saingan tiga penjuru Tok Gajah, Gergasi Merah hingga akhir musim (2015)
Matias Conti (kanan) antara pemain utama Pahang pada saingan 2015. — Agensi
Sri Pahang FC atau sebelum ini digelar Pahang FA merupakan antara pasukan terkuat Liga M pada saingan 2015 dan ia dapat dibuktikan apabila skuad Tok Gajah hanya merekodkan empat kekalahan sepanjang 22 perlawanan Liga Super tahun berkenaan.
Ramai peminat Tok Gajah memasang impian untuk melihat Pahang sekali lagi di pertandingan Piala AFC seperti tahun sebelumnya namun kekuatan Terengganu dan Selangor di saat-saat akhir menjadi batu penghalang Pahang.
Terengganu dapat mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan anak-anak buah Datuk Zainal Abidin Hassan dengan keputusan 3-1 dan kemenangan berkenaan berhasil menyaksikan skuad Sang Penyu mengakhiri liga di kedudukan keempat dan berkongsi mata bersama Pahang.
Manakala, Selangor FC pula yang bangkit membalas dendam ke atas musuh tradisi, Perak dan mencatat kemenangan 2-0 akhirnya membantu Gergasi Merah mengakhiri liga di tangga kedua dengan hanya dibezakan satu mata sahaja di belakang Sri Pahang.
Sejak itu, Sri Pahang tidak pernah lagi layak ke pertandingan peringkat Asia, sementara itu, musim 2016 menjadi tahun terakhir Gergasi Merah memberi saingan di Piala AFC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram