PEMAIN kelahiran Sarawak, Tommy Mawat Bada sah menjadi milik Perak FC selepas menandatangani kontrak baharu bersama pasukan yang berpangkalan di Utara tanah air itu.
Pemain kelahiran Belaga yang sebelum ini beraksi dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) di bawah bimbingan K. Devan itu akhirnya diperkenalkan sebagai tonggak pertahanan kiri sayap skuad Seladang musim 2024.
Kualiti dari segi ketangkasan dan kepantasan larian yang ada pada diri pemain berusia 28 tahun itu nampaknya cukup baik untuk membantu jentera serangan dan pertahanan Perak FC.
Tommy Mawat (kanan) sah perkuat Perak FC musim depan. — Facebook/Perakfc
Meksipun menduduki tangga ke-11 saingan Liga Super 2023, skuad kendalian Yusri Che Lah itu berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2023.
Melihat kepada pengalamannya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), bekas pemain Sabah FC itu pastinya tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan kelab baharu.
Dalam pada itu, rata-rata penyokong berasakan kehadiran pemain sayap itu dilihat akan membantu Perak FC untuk memberi saingan sengit kepada juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) musim depan.
"Welcome Tommy Mawat, ni musim depan confirm boleh break JDT," kata Azmi Hassan.
"Tahniah Perak FC, diam-diam buat kerja, nampak dah masa depan team boleh fight JDT," kata Shamsul_.
"All the best Perak FC. Antara team yang ada potensi akan berjaya musim depan," kata HaikalTheYob.
Untuk rekod, sepanjang bersama dengan skuad Jang, Tommy sudah mencetak dua jaringan dan dua assists selepas 21 perlawanan liga berlangsung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram