PENGHUJUNG musim Liga Malaysia (Liga M) senantiasa padat dengan khabar angin yang mengaitkan perpindahan para pemain sehingga ada di antaranya memberi impak kepada persiapan pasukan untuk perlawanan terakhir Liga Super.
Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak turut mengetepikan seketika khabar angin pemain baharu ke kelab kendaliannya kerana tidak ingin pemain sedia ada hilang fokus untuk merebut tiga mata dalam perlawanan terakhir menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Paroi, Seremban pada Ahad.
Kuching City FC turut tidak ketinggalan menjadi antara pasukan yang terpalit dengan perancangan saingan musim depan terutamanya selepas Pengerusi Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman memberi gambaran.
Sebelum ini, Aidil Sharin Sahak turut berkongsi keadaan semasa The Cats dengan memaklumkan akan membawa masuk tiga bekas anak didiknya di Kedah Darul Aman (KDA) FC ke bumi Sarawak itu.
Amirul Hisyam atau mesra dengan panggilan Worm antara nama yang disebut-sebut bakal meninggalkan KDA FC musim depan. — Facebook/KDA FC
“Kuching city hanya ada bajet kecil sahaja. Kita pun stay low profile, kita ada perancangan, Tunggu masanya untuk kita umum. Sekarang ini semua ada kontrak yang kita perlu hormati. Perlu settle perlawanan terakhir.
“Saya selesaikan dulu pemain Kuching dan akan ambil pemain luar. Saya tak boleh nak cakap betul atau tidak kerana benda ini boleh jadi kontroversi dan tidak menghormati kelab-kelab itu. Kita ada own bajet untuk tengok siapa pemain boleh diambil,” katanya kepada Majoriti.
Selain itu, The Cats juga dikatakan berhajat membawa nama besar seperti pemain kebangsaan dan terdapat khabar angin menyatakan bahawa calon-calon pemain yang sedang diintai ialah tonggak Sabah FC.
Berdasarkan ciapan dari wartawan The Star, T. Avineswaran di platform X pada Jumaat, kelab berpangkalan di Borneo itu sedang mempertimbangkan untuk merekrut bek kiri Sabah FC, Daniel Ting pada musim depan.
Daniel Ting juga antara pemain yang berada dalam radar skuad The Cats pada musim depan. — Facebook/SabahFC
“Tiada betul atau tak betul mengenai cerita itu (khabar angin mengintai pemain Sabah FC). Kita pun tahu memang masing-masing semua coach akan cuba kuatkan pasukan,” jelasnya.
Dalam perkembangan berbeza, pengendali kelahiran Singapura itu berharap agar kemenangan akan memihak kepada The Cats dalam perlawanan terakhir Liga Super itu walaupun sedia maklum akan kekuatan pemain skuad Jang.
Menurutnya, kekuatan beraksi di laman sendiri dan fizikal anak buah K.Devan akan memberi masalah kepada The Cats bagi mendapat kemenangan terakhir dan mengukuhkan kedudukan bagi musim 2023.
“Kita (Kuching City) tahu Negeri Sembilan bila main di tempat sendiri, mereka kuat dan ada semangat walaupun mereka ada masalah. Tapi mereka masih profesional dan berikan yang terbaik.
“Kita perlu hati-hati dengan counter attack mereka dan set piece mereka kerana mempunyai pemain tinggi-tinggi seperti Herold Goulan yang hebat di dalam kotak,” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram