KOREA Selatan menjadi antara pasukan yang akan memberi saingan sengit kepada negara lain di Piala Asia Qatar terutamanya terhadap skuad Malaysia selepas Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan E bersama Bahrain dan Jordan.
Skuad yang dikenali dengan jolokan Taeguk Warriors itu sudah mengumumkan senarai 26 pemain untuk membawa cabaran ke kejohanan tertinggi Asia berkenaan dengan nama-nama bintang bola sepak Eropah menjadi tumpuan.
Bintang bola sepak yang akan dibawa oleh pengendali Korea Selatan, Jurgen Klinsmann adalah seperti Son Heung-min (Tottenham Hotspur), Kim Min-jae (Bayern Munich), Lee Kang-in (Paris Saint-Germain) dan penyerang Wolverhampton Wanderes, Hwang Hee-chan.
Sementara menunggu saingan Piala Asia bermula pada 13 Januari ini, penyerang taruhan Korea Selatan, Hee-chan difahamkan menjadi rebutan dua kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Liverpool dan Tottenham Hotspur.
Baca Lagi: Aura Harimau Malaya di Qatar sampai ke Brazil, jeneral tengah jadi tumpuan media bahasa asing
Hee-chan antara penyerang utama untuk Wolverhampton. — Agensi
Penyerang berusia 27 tahun itu semakin diburu dua kelab berkenaan selepas konsisten menampikan persembahan cemerlang untuk barisan hadapan Wolverhampton pada saingan musim ini.
Menerusi laman Transfermarkt, bekas penyerang RB Leipzig itu sudah merekodkan 10 jaringan dan tiga hantaran bantuan dalam 20 penampilannya untuk Wolverhampton bagi saingan EPL 2023/24 setakat ini.
Memetik laporan dari TeamTalk, Liverpool dan Spurs sedang bersiap sedia untuk mengemukakan tawaran kepada Hee-chan pada jendela perpindahan musim panas nanti bagi menambah baik bahagian serangan masing-masing.
Dengan persembahan konsisten Hee-chan itu, pemain yang pernah menerima Anugerah Pemain Remaja Terbaik Asia 2017 tersebut pastinya akan menjadi ancaman kepada bahagian pertahanan Harimau Malaya.
Bek tengah negara, Dion Cools nampaknya perlu lebih bekerja keras untuk menganalisis permainan Hee-chan sebelum mengawal pemain berketinggian 1.77 meter itu dalam saingan Piala Asia pada 25 Januari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram