KEGAGALAN Kelantan FC untuk menghantar dokumen sah kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada masa ditetapkan menyaksikan mereka tidak layak beraksi dalam Liga Super 2024/25.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan badan penganjur bola sepak negara itu, kelab Pantai Timur terbabit sudah menghantar dokumen menunjukkan mereka sudah berusaha menyelesaikan isu tunggakan gaji.
Namun, semakan terhadapnya mendapati beberapa pemain serta staf pasukan masih belum menerima bayaran, sekali gus membuktikan masalah berkenaan masih belum diselesaikan.
"Pihak First Instance Body (FIB) melakukan semakan bersama Persatuan Pemain Bolasepak Professional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) bagi memastikan bahawa pembayaran gaji telah dilakukan oleh pihak Kelantan FC.
"Namun begitu, setelah semakan dibuat, terdapat beberapa pemain dan pegawai yang masih belum menerima gaji bulan Ogos 2023 atas beberapa sebab," katanya.
Kenyataan dikeluarkan MFL menyaksikan Kelantan FC tidak akan bersaing dalam Liga Super musim depan.
Keputusan berkenaan menyaksikan rata-rata penyokong The Red Warriors (TRW) berpuas hati dengan sekatan terbabit apabila mereka berasakan isu terbabit hanya mencalarkan reputasi pasukan.
Bagaimanapun, dalam kenyataan MFL itu, Kelantan FC masih diberikan peluang memperolehi lesen kebangsaan sehingga 8 Januari sekiranya mereka dapat menghantar dokumen diperlukan.
Peluang tersebut dilihat sudah disambar pasukan tercorot Liga Super 2023 berkenaan berdasarkan satu ciapan wartawan Astro Arena, Fadhirul Suhaimi di laman X peribadinya.
"CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) CEO MFL, Datuk Stuart Ramalingam sahkan pihaknya sudah menerima surat rayuan daripada Kelantan FC pada Isnin susulan keputusan FIB menolak permohonan mereka dapatkan lesen kebangsaan," katanya.
Badan penganjur bola sepak tanah air itu bagaimanapun masih perlu membuat semakan sebelum memberikan keputusan terakhir dalam misi skuad TRW kekal dalam Liga Super musim depan.
Tangkap layar daripada ciapan Fadhirul mengenai situasi semasa Kelantan FC.
Baca Lagi: Lepas sebulan berteka-teki, nasib Kelantan FC dalam Liga Super akhirnya terjawab
Kelantan FC sebelum dikhabarkan mengalami kemelut tunggakan gaji sejak pertengahan tahun dengan isu tersebut menyaksikan mereka bergelut di dalam dan di luar padang.
Untuk rekod, skuad TRW menamatkan saingan Liga Super 2023 di kedudukan ke-14 dengan hanya lapan mata dikumpulkan pasukan itu sepanjang 26 perlawanan.
Mereka turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pasukan tempatan pertama dibolosi lebih 121 kali dengan kegagalan berkenaan menjejaskan imej pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram