Aura Harimau Malaya di Qatar sampai ke Brazil, jeneral tengah jadi tumpuan media bahasa asing


  • Podium
  • Selasa, 02 Jan 2024

Josue (dua dari kanan) antara pemain penting menggerakkan jentera tengah skuad kebangsaan. — Facebook/FAM

KURANG dua minggu lagi sebelum Piala Asia Qatar membuka tirainya pada 13 Januari ini, tumpuan penyokong tanah air pastinya memfokuskan kepada cabaran yang akan dihadapi skuad Harimau Malaya.

Skuad kendalian Kim Pan-gon itu akan membuka kempen Kumpulan E dengan Jordan pada 16 Januari sebelum menerima tentangan daripada Bahrain (20 Januari) dan ditutup dengan perlawanan menentang Korea Selatan pada 25 Januari.

Walaupun ada bunyi-bunyi yang mengata kehadiran Malaysia hanya sekadar pelengkap jadual namun siapa sangka ada media luar negara tidak terlepas daripada mengupas mengenai kekuatan dimiliki Harimau Malaya.

Selain peningkatan ranking di bawah pimpinan Pan-gon yang pernah menjadi bahan bualan para penyokong global sebelum ini, terdapat juga pemain Harimau Malaya mencuri tumpuan daripada media luar negara baru-baru ini.

BACA LAGI: [VIDEO] Mesej jelas Darren Lok kepada lawan HM di Qatar, ‘Kami datang untuk bertempur’

WhatsApp Image 2024-01-02 at 14.37.39

Tangkap layar laporan berita dari GHZ.

Misalnya, tonggak tengah naturalisasi, Paulo Josue yang baru-baru ini menjadi personaliti wawancara media Brazil, GHZ apabila ketua pasukan Kuala Lumpur (KL) City itu berkongsi pengalaman bersama skuad kebangsaan.

Dalam wawancara berkenaan, media Brazil berkenaan menyebut pemain berusia 34 tahun itu antara tonggak naturalisasi pasukan Malaysia yang akan dipertaruhkan dalam kejohanan tertinggi rantau Asia tersebut.

Selain menceritakan pengalamannya untuk beraksi di saingan Piala Asia, Josue juga menyatakan hasrat untuk melihat Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia pada suatu hari nanti.

josue dalam

Josue sedia untuk memberikan aksi cemerlang demi membantu Malaysia mara ke pusingan 16 Piala Asia. — Facebook/FAM

"Jangkaan kami sudah tentu untuk bersaing dalam Piala Dunia yang kini akan menampilkan lebih daripada 40 pasukan, jadi sudah tentu ada peluang besar untuk ke Piala Dunia. Kami tahu untuk Malaysia pergi ke kejohanan Piala Dunia agak susah namun kami akan berusaha untuk mencapainya.

"Saya berharap untuk kekal selama yang saya boleh. Beraksi bersama pasukan ini (Malaysia) adalah detik terbaik dalam kerjaya saya," katanya kepada media berkenaan.

Untuk rekod, arkitek kelahiran Brazil itu sudah menjaringkan empat gol dalam enam penampilan untuk Harimau Malaya sejak dia membuat penampilan sulung pasukan kebangsaan pada Mac tahun ini.

Selain menjadi nadi untuk bahagian tengah negara, Josue juga sering diberi kepercayaan oleh pengendali Korea Selatan itu untuk bermain di posisi penyerang dalam beberapa perlawanan sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram