BARU-BARU ini, bekas penjaga gol kebangsaan, Jamsari Sabian mengumumkan bahawa dirinya mahu menjual koleksi pingat yang diperolehinya sepanjang karier permainan susulan isu tunggakan gaji menimpa dirinya.
Difahamkan, Jamsari yang pernah beraksi dengan Selangor FC itu terpalit dengan masalah gaji ketika beliau berkhidmat untuk Kelantan United FC (KUFC) sebagai jurulatih penjaga gol pasukan Pantai Timur tersebut.
Tidak sampai sehari luahan perasaan Jamsari itu menjadi tular, pihak pengurusan skuad Kijang Hijau pantas memberi maklum balas mengenai isu tunggakan kelab sebagai respons terhadap kenyataan jurulatih yang menyertai pada pertengahan tahun lalu berkenaan.
Masalah gaji sememangnya bukan perkara yang boleh dianggap enteng namun ada sesetengah pihak menganggap Jamsari terburu-buru memuat naik hantaran sedemikian sehingga mencalarkan imej KUFC.
Bagi Pengarah Pembangunan Akar Umbi KUFC, Rezal Zambery Yahya bagaimanapun berpendapat bahawa kemelut antara Jamsari dan pihak pengurusan skuad Kijang Hijau hanyalah salah faham antara pekerja dan majikan.
Jamsari (atas, dua dari kanan) sudah beberapa kali memilih untuk menjual koleksi pingat yang diraih sepanjang kariernya. — Agensi
"Ada miscommunication antara coach (Jamsari) dah pihak pengurusan. Penjelasan pihak pengurusan dapat jelaskan konflik. Saya tak menangkan siapa-siapa cuma perlu ada perbincangan. Mereka pun dah selesai dengan cara baik.
"Cuma kenyataannya (Jamsari) terlalu awal. Tapi tetap tak bolehkan salahkan siapa-siapa. Saya juga diberitahu bayaran pihak pengurusan masuk belah malam tapi posting dibuat coach pada belah pagi," katanya kepada Majoriti.
Baca Lagi: Legenda Selangor berkhidmat di Pantai Timur mahu lelong pingat, dedah 4 bulan tak terima gaji
Bekas pengendali Kelantan FC itu turut memuji cara pihak pengurusan Kelantan United menyelesaikan masalah tunggakan yang mana memilih untuk berbincang cara baik dan bukannya bersikap lepas tangan.
"Sebenarnya masalah dah selesai. Masing-masing dah setuju dengan apa yang dibincangkan dengan pihak pengurusan. Bagi saya apabila dah bersetuju maksudnya kita menghormati apa yang dibincangkan. Pada saya tiada isu berbangkit buat masa sekarang.
"Pihak pengurusan tak lari daripada apa-apa dan ada ruang perbincangan. Mereka tak hilang daripada tanggungjawab. Selagi ada ruang perbincangan, kita sebagai pekerja sentiasa menyokong apa yan diusahakan oleh pengurusan," tambahnya.
Rezal dilantik Pengarah Pembangunan Akar Umbi KUFC pada Julai lepas. — Facebook/KUFC
Masalah tunggakan gaji yang melanda Kelantan United FC (KUFC) sejak Ogos lepas akhirnya menemui titik nokhtah apabila pihak pengurusan kelab memaklumkan sudah menyelesaikan isu berkenaan baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif KUFC, Wan Zul Ikmal Wan Abdul Aziz memaklumkan bahawa pihaknya sebelum ini mengeluarkan satu memo berhubung jadual pembayaran gaji dan dipersetujui oleh pihak pengurusan kelab, pegawai, kejurulatihan serta barisan pemain.
"Kami (KUFC) sentiasa komited melangsaikan segala tunggakan apabila memulakan proses bayaran bermula pertengahan Disember 2023 iaitu separuh gaji bulan Ogos sebelum perlawanan terakhir Liga Super.
"Sehari selepas perlawanan itu, kelab telah melakukan pembayaran gaji untuk bulan September kepada semua pegawai, kejurulatihan dan pemain. Mengikut persetujuan penjadualan pembayaran seterusya, sepatutnya transaksi baki Ogos ialah pada 31 Disember," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Proses pembayaran bagaimanapun tergendala disebabkan beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan namun pihak pengurusan kelab mengambil tindakan menghubungi pemain dan pegawai untuk menjelaskan keadaan tersebut.
Tambahnya, mana-mana pemain atau pegawai yang belum mendapat baki gaji bulan Ogos, pihaknya akan menyelesaikan pembayaran itu pada 3 Januari ini, sementara tiga bulan terakhir pula akan akan diselesaikan pada 15 Januari dan 31 Januari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram