BEKAS penjaga gol kebangsaan, Jamsari Sabian sebelum ini pernah mengumumkan bahawa dirinya mahu menjual koleksi pingat yang diperolehinya sepanjang karier permainan.
Ini berikutan kesukarannya untuk mendapatkan pendapatan konsisten secara bulanan sehingga membuatkannya berbuat demikian meskipun tindakan itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.
Namun, cemuhan diberikan kepadanya seakan-akan tidak didengari apabila Jamsari sekali lagi memuat naik satu kenyataan di laman Facebook peribadinya dengan hasrat yang sama.
"Nak lepaskan pingat (bersama) pasukan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) FC dari 2001 sehingga 2004. Nak 'cover' gaji tidak diterima selama empat bulan. Jadi, itu sebabnya mahu dijual," katanya.

Antara koleksi kejuaraan yang pernah diraih Jamsari Sabian sepanjang beraksi bersama MPPJ FC. — Facebook/Jamsari Sabian
Berdasarkan laporan terdahulu, Jamsari membuat keputusan menyertai pasukan bergelut Liga Super, Kelantan United sebagai jurulatih penjaga gol pertengahan tahun lalu.
Keputusan itu sedikit sebanyak menaikkan reputasi skuad Kijang Hijau dengan orang ramai sememangnya tidak dapat melupakan nama pemain terbabit.
Baca Lagi: [VIDEO] Seperti kisah Hazwan Bakri, legenda Selangor cedera lepas 10 minit beraksi
Namun, hantaran daripada penjaga gol berkenaan pastinya mencalarkan imej pasukan Pantai Timur terbabit yang pernah terpalit dengan isu kebajikan sepanjang musim.
Selain pernah beraksi buat MPPJ FC, Jamsari Sabian juga pernah menyertai beberapa pasukan Liga Super yang lain, termasuk Selangor FA dan Kuala Lumpur FA.
Pelbagai kejayaan pernah dikecapinya sepanjang karier, termasuk ketika membantu skuad 'Chelsea Malaysia' menjuarai Piala Sultan Ahmad Shah dan Liga Perdana pada 2004. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
