Kehadiran Romel Morales boleh bantu HM curi mata di Piala Asia — Zainal Abidin


  • Podium
  • Ahad, 31 Dis 2023

Sejurus bergelar pemain naturalisasi, Romel dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya. — Facebook/FAM

LEGENDA bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan optimis skuad Harimau Malaya mampu mencuri mata pada perlawanan pembukaan bertemu Jordan dan Bahrain di Piala Asia 2023 di Doha, Qatar bermula 12 Januari hingga 10 Februari depan.

Bekas penyerang Selangor itu berkata, keyakinan itu muncul setelah melihat percaturan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon yang banyak ‘menampal’ kelemahan pasukan negara selain prestasi memberangsangkan tahun ini.

"Kita lawan dengan Bahrain dan Tajikistan tidak jauh ketinggalan matanya, itu sebelum Pan-gon memperbaiki pasukan, jadi saya lihat pasukan Jordan tidak jauh beza (prestasinya) dengan Tajikistan sekiranya mereka memberikan persembahan terbaik dan konsisten.

"Harimau Malaya juga pernah ketinggalan jaringan semasa lawan dengan pasukan Kyrgyzstan namun bangkit untuk memenangi perlawanan, kalau kekalkan prestasi itu di Piala Asia saya yakin mereka boleh kalahkan Jordan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Harimau Malaya sebelum ini kalah tipis 1-2 kepada Bahrain pada Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun 2022 manakala perlawanan bertemu Tajikistan di Pestabola Merdeka 2023 pada Oktober menyaksikan skuad negara tewas 0-2.

WhatsApp Image 2023-12-31 at 14.24.36

Zainal Abidin percaya skuad kebangsaan mampu mencuri mata di saingan Kumpulan E nanti. — Facebook/FAM

Bagaimanapun, Malaysia kemudian mencipta sensasi apabila menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dengan melakukan kebangkitan luar biasa selepas ketinggalan 3-1 dalam aksi sulung Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 November lepas.

Malaysia akan menentang Jordan dalam aksi pembukaan Kumpulan E Piala Asia 2023 pada 15 Januari, diikuti Bahrain (20 Januari) dan juara dua kali yang juga pasukan pilihan Korea Selatan pada 25 Januari.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, keyakinan untuk mencuri mata bertambah apabila Pan-gon memasukkan penyerang naturalisasi baharu Kuala Lumpur (KL) City FC, Romel Morales yang disifatkannya sebagai tindakan bijak untuk menghadirkan tentangan sengit di Qatar kelak.

Selain itu katanya bahagian pertahanan Harimau Malaya juga telah menunjukkan peningkatan ketara pada tahun ini.

WhatsApp Image 2023-12-31 at 14.24.39

Pan-gon ketika kem latihan persediaan ke Piala Asia 2023 di Doha bermula 12 Januari. — Facebook/FAM

"Kita sudah nampak kekebalan pertahanan kita, tapi ada juga buat kesalahan tak sepatutnya dibuat, ini adalah pengajaran yang perlu dibaiki, saya rasa Pan-gon tahu apa yang diinginkan daripada pemain pertahanan, kesilapan yang dilakukan perlu diperbaiki," katanya.

Sementara itu, bekas pengendali skuad muda negara itu berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mencari pengganti Arab Saudi bagi aksi pemanas badan sebelum Piala Asia 2023.

FAM sebelum ini mengesahkan aksi persahabatan bertemu Arab Saudi terpaksa dibatalkan atas permintaan ketua jurulatih baharunya, Roberto Mancini yang mencongak pasukannya berkemungkinan bertemu Malaysia pada pusingan 16 terbaik Piala Asia. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram