Sah ke JDT, tapi Azam Azmi masih milik Sang Penyu musim depan


  • Podium
  • Sabtu, 30 Dis 2023

Azam Azmi akhirnya bakal meninggalkan skuad Sang Penyu setelah dua musim beraksi di Pantai Timur. — Facebook/Terengganu FC

KHABAR angin yang mengaitkan bek kanan Terengganu FC, Azam Azmi Murad bakal meninggalkan pasukan itu bukanlah sesuatu yang baharu apabila kecemerlangannya sudah disedari hampir kesemua peminat bola sepak negara.

Pemain kelahiran Pulau Pinang tersebut dikatakan berada dalam radar Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT) yang cukup tertarik akan khidmatnya sejak awal tahun lagi.

Namun, pertahanan muda terbabit memilih untuk kekal bersama skuad Sang Penyu musim ini apabila dia berpeluang beraksi dalam Piala Asia 2023/24.

Bagaimanapun, dengan saingan Liga Super 2023 sudah melabuhkan tirainya, Azam kini bebas memilih pasukan baharunya meskipun dia difahamkan masih mempunyai kontrak bersama Terengganu FC.

Pemain berusia 22 tahun itu dilihat sudah membuat keputusan dengan pelbagai khabar angin mengatakan dia bakal menyarung jersi JDT pada 2023.

WhatsApp Image 2023-12-30 at 22.29.09

Ciapan Avinesh mengenai masa depan Azam Azmi bersama skuad Sang Penyu.

Ura-ura terbabit kemudiannya disahkan apabila wartawan tanah air, T Avineshwaran mengesahkan pemain Harimau Malaya itu akan menyertai juara Liga Super 10 kali berturut-turut berkenaan.

"Difahamkan bek sayap, Azam Azmi akan kekal bersama Terengganu, tetapi ia tidak terhenti di situ. Menurut sumber, pemain tersebut sudah menandatangani kontrak dengan JDT, tetapi akan kembali dipinjamkan," tulisnya.

Keputusan berkenaan dilihat cukup tepat memandangkan skuad Harimau Selatan kini sudah memiliki dua bek kanan, Matt Davies serta Syahmi Safari.

Kemasukan Azam Azmi hanya akan menyebabkan perebutan untuk mendapatkan minit permainan semakin sengit dengan kelab itu juga difahamkan mahu mengurangkan kos operasi.

Dalam pada itu, status pemain berkenaan yang bersedia dipinjamkan kembali pastinya memberi kelegaan buat Terengganu FC yang masih belum menemui pengganti terbaik.

Meskipun kepercayaan masih boleh diberikan kepada Safwan Mazlan atau Ubaidullah Shamsul Fazili, mereka masih belum berada di tahap terbaik untuk mengisi kekosongan Azam Azmi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram