Dah follow Instagram Selangor FC, bayangan sahabat Orozco makin jelas ke Liga Super


  • Podium
  • Sabtu, 30 Dis 2023

Cardenas dilihat mampu meningkatkan kualiti skuad Gergasi Merah berdasarkan pengalamannya di Colombia. — Agensi

SELEPAS merealisasikan hasrat untuk beraksi di pentas Asia musim depan, Selangor FC dilihat tidak menunggu lama untuk memperkuatkan skuad pada jendela perpindahan kali ini.

Berdasarkan laporan tidak rasmi, pasukan Lembah Klang itu seakan-akan bersedia untuk membuat pelaburan untuk mendepani cabaran lebih hebat dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2.

Selain itu, perbelanjaan besar juga perlu dibuat memandangkan terdapatnya laporan bahawa mereka bakal kehilangan khidmat pemenang Anugerah Kasut Emas 2023, Ayron del Valle.

Pemergian pemain itu yang dilaporkan mahu pulang ke Colombia pasti akan menyaksikan satu kekosongan besar yang perlu diisi dengan seseorang lebih berkualiti.

Bagaimanapun, dalam khabar angin yang bertebaran di media sosial, Selangor FC dilaporkan mahu memperkuatkan bahagian tengah mereka terlebih dahulu.

Pemain senegara del Valle, Sherman Cardenas dikatakan berada dalam radar naib juara Liga Super 2023 itu dengan laporan daripada media Amerika Selatan turut memperkuatkan ura-ura itu.

WhatsApp Image 2023-12-30 at 19.20.38

Sherman dilihat sudah mula mengatur langkah untuk mengenali Selangor FC dengan lebih dekat.

Dia yang kini beraksi di liga bawahan Colombia pernah meraih pelbagai pencapaian, termasuk menjuarai Copa Libertadores bersama Atletico Nacional pada 2016.

Jadi, tidak hairanlah apabila Selangor FC berminat untuk mendapatkan khidmatnya dalam usaha kelab terbabit memberikan saingan di pentas Asia.

Khabar angin berkenaan juga dilihat semakin hampir menjadi realiti apabila Cardenas sudah mengikuti laman Instagram skuad Gergasi Merah baru-baru ini.

Langkah berkenaan memberikan satu bayangan bahawa pemain berusia 34 tahun terbabit tertarik untuk mengetahui perkembangan pasukan di samping mengenali rakan sepasukannya.

Cardenas dilaporkan berminat untuk menyertai Selangor FC memandangkan dia mempunyai hubungan baik bersama Orozco dengan kedua-dua mereka difahamkan merupakan sahabat di luar padang.

Selain mengikuti antara satu sama lain di laman Instagram, tonggak skuad Gergasi Merah itu pernah beraksi di Colombia, sekali gus mewujudkan hubungan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram