Kurangkan kos operasi, JDT bakal buat jualan lambak lepaskan pemain?


  • Podium
  • Khamis, 28 Dis 2023

Safawi Rasid antara nama yang mungkin dilepaskan JDT pada musim depan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

JUARA Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) dilaporkan akan mengurangkan perbelanjaan mereka pada musim hadapan.

Perkara tersebut telah disahkan sendiri oleh pengarah sukan kelab mereka iaitu Alistair Edwards. Menurut Edwards, JDT dilaporkan akan mengurangkan perbelanjaan sehingga 40 peratus.

Hal ini perlu dilakukan kerana JDT mahu memastikan tahap kewangan mereka dapat dilestarikan sekali gus tidak meletakkan kelab tersebut dalam masalah pada masa akan datang.

"Setelah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk projek bola sepak termasuk infrastruktur dalam tempoh enam hingga tujuh tahun yang lepas, JDT perlu membuat penstrukturan kewangan bagi memastikan kelangsungan jangka panjang.

"Kelab telah memutuskan untuk mengurangkan perbelanjaan sebanyak 30 hingga 40 peratus untuk membolehkan proses tersebut. Kami tidak akan membelanjakan wang. Kami akan mengurangkan perbelanjaan kami," kata Edwards.

410459158_927064315456212_5275100564695309582_n

Nazmi turut dikatakan akan meninggalkan JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Namun begitu, pengarah sukan JDT itu tidak mengatakan secara jelas mengenai jenis perbelanjaan apakah yang bakal dikurangkan kelab tersebut bermula musim depan.

Jika dilihat kepada beberapa kemungkinan, JDT berpotensi untuk mengurangkan perbelanjaan mereka terhadap skuad yang sedia ada.

Harimau Selatan mungkin akan melepaskan beberapa pemain dengan potensi perpindahan penuh akan dilakukan dan bukannya secara pinjaman. Hal ini kerana, jika hanya meminjamkan pemain ke kelab lain, JDT mungkin masih perlu membayar gaji mereka.

Salah satu cara adalah dengan melepaskan beberapa pemain yang bukanlah watak utama pasukan menerusi perpindahan tetap. JDT boleh melepaskan pemain yang kontraknya musim ini hampir tamat atau 'menjemput' kelab lain menebus kontrak bagi bintang-bintang yang masih terikat dengan Harimau Selatan.

Dengan pelbagai khabar angin mengatakan terdapat sebilangan pemain JDT akan meninggalkan kelab seperti Safawi Rasid, Syafiq Ahmad dan Nazmi Faiz Mansor, kewangan kelab itu dapat diringankan sekiranya perpindahan tersebut benar-benar terjadi.

Malah, nama-nama yang sudah lama bersama kelab tetapi kurang beraksi seperti Azrif Nasrulhaq, Izham Tarmizi serta Danial Amier juga mungkin boleh dipertimbang oleh JDT untuk dilepaskan secara pinjaman atau tetap.

Tindakan JDT itu adalah perlu kerana jika tersalah urus wang, Harimau Selatan boleh berada dalam bahaya. Apa yang jelas adalah, kelab segah JDT pun tidak terkecuali daripada potensi mengalami masalah kewangan sama seperti kelab Malaysia yang lain.

Apa yang membezakan adalah bagaimana situasi tersebut diuruskan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram