KELAB Liga Super, Terengganu FC mencuri tumpuan pada musim ini apabila berjaya menampilkan barisan pertahanan yang kukuh.
Lebih menarik, barisan pertahanan kukuh tersebut dibina dengan menjadikan pemain-pemain tempatan sebagai nadinya.
Azam Azmi, Ubaidullah Shamsul, Shahrul Nizam dan Safwan Mazlan antara nama-nama pertahanan tempatan Terengganu yang kental menyerap segala asakan lawan.
Musim depan, mereka dilaporkan berusaha untuk menguatkan lagi benteng pertahanan dengan mendapatkan pertahanan dari Belanda iaitu Mattew Steenvoorden.
Siapakah Steenvoorden ini? Analisis ringkas Majoriti akan merungkai mengenai pertahanan berusia 30 tahun tersebut:
Pengalaman luas di Eropah
Steenvoorden merupakan pemain kelab Uzbekistan iaitu Pakhtakor. Itu merupakan kelab pertamanya berkelana di Asia.
Sebelum itu, pemain pertahanan tengah tersebut hanya bermain di Eropah dengan Steenvoorden bermain di pelbagai kelab negara kelahirannya iaitu Belanda.
Steenvoorden banyak menghabiskan kariernya di Belanda. — Agensi
Berasal daripada sistem akademi Feyenoord, Steenvoorden kemudiannya bermain untuk kelab-kelab seperti Excelsior, FC Dordrecht serta FC Cambuur.
Selain di Belanda, Steenvoorden pernah bermain di Croatia dengan mewakili HNK Gorica sebelum pada 2019 sebelum menyertai Pakhtakor pada 2023.
Pernah bermain di peringkat antarabangsa
Ketika zaman remajanya, Steenvoorden mempunyai pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa bersama-sama negaranya iaitu Belanda.
Namun begitu, penglibatannya hanya terhad sehingga ke skuad bawah 19 tahun (B-19) Belanda. Untuk rekod, Steenvorden melakukan tiga penampilan untuk skuad B-16 serta lapan bersama pasukan B-19 Belanda serta mempunyai satu gol.
Steenvoorden (kiri) beraksi dalam ACL bersama-sama Pakhtakor. — Agensi
Akan tetapi, pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa tidak terhenti di situ. Dia pernah melakukan satu penampilan dalam aksi kelayakan Europa League bersama-sama Feyenoord serta dua kemunculan di Liga Juara-Juara AFC (ACL) dengan Pakhtakor.
Pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa mungkin tidak banyak, tetapi Steenvoorden pasti mempunyai menggunakannya untuk memberikan manfaat buat Terengganu.
Pemain yang versatil
Satu bonus yang akan Terengganu dapat jika Steenvoorden menyertai mereka adalah kepelbagaiannya yang ada padanya sebagai pemain.
Steenvoorden merupakan pemain pertahanan tengah secara semula jadi. Namun begitu, dia turut mempunyai kebolehan untuk beraksi dia dua posisi lain.
Steenvoorden (kiri) boleh bermain di beberapa posisi. — Agensi
Dia berkebolehan untuk bermain sebagai pemain tengah bertahan (defensive midfielder). Selain itu, Steenvoorden juga boleh bermain dengan baik sebagai pemain tengah (center midfielder).
Jika dapat digunakan dengan baik, Steenvoorden boleh menjadi aset penting Terengganu kerana dia merupakan seorang pemain utiliti.
Seandainya Steinbruckner memilih untuk menggunakan kesemua pemain tempatan di bahagian pertahanan, Steenvoorden boleh ditolak ke depan sedikit dengan beraksi di bahagian tengah. Namun itu semua terpulang kepada percaturan pengendali tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram