Untung siapa dapat budak ini — Akram Mahinan


  • Podium
  • Ahad, 24 Dis 2023

Kesebelasan utama Harimau Muda ketika beraksi menentang China B-23 pada Sabtu. — Facebook/FAM

PEMAIN pertahanan muda negara, Harith Haiqal Adam Afkar muncul wira pasukan Bawah 23 (B-23) negara apabila meledak gol pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan tipis 1-0 Malaysia ke atas China, pada Sabtu.

Perlawanan yang berlangsung dalam cuaca sejuk di Stadium Jinshan, Shanghai, China tidak menjejaskan corak permainan bertenaga diperagakan skuad bimbingan Juan Torres Garrido.

Selain berjaya menyerap serangan bertali arus tuan rumah, skuad Harimau Muda turut mencipta beberapa peluang sehinggalah jaringan terhasil pada minit ke-95 menerusi tolakan mudah Harith Haiqal, berpunca daripada sepakan penjuru.

Kemenangan itu, merupakan perlawanan pertama Juan Torres Garrido sebagai jurulatih Harimau Muda menggantikan E. Elavarasan pada Oktober lalu.

Dalam kita mengangkat Harith Haiqal, jangan lupa bahawa Harimau Muda tidak dibolosi sebarang jaringan selepas penjaga gol, Azim Al Amin beraksi cemerlang.

Penjaga gol Kuala Lumpur City (KL City) itu, sering kali melakukan halangan dan tepisan untuk mengagalkan percubaan pemain-pemain China.

Dalam perlawanan itu, Azim berjaya melakukan tugas yang baik sekali gus dapat membantu Harimau Muda memenangi perlawanan persahabatan pertama menentang China B-23.

Perkara itu turut diakui pemain tengah KL City, Akram Mahinan selepas dia memuat naik satu ciapan yang menyatakan tidak rugi buat pasukan lain jika dapat menandatangani Azim musim depan.

"Untung sapa (siapa) dapat budak ni (ini)... tak tipu punya."

Musim ini, Azim tampil dalam tiga perlawanan Liga Super bersama KL City tetapi dia lebih banyak beraksi di Piala MFL. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram