KAPTEN Negeri Sembilan, Zaquan Adha Abdul Radzak, tidak menafikan impian sebelum bersara daripada bola sepak profesional adalah bergandingan dengan pasangan kembarnya, Aidil Zafuan.
Dalam temu bual bersama wartawan, Zulhelmi Zainal Azam, Zaquan berkongsi rasa dan luahannya tentang situasi tersebut, lapor Stadium Astro.
“Ya! Memang menjadi impian sayalah tapi hala tuju Aidil dan hala tuju saya buat masa sekarang ini, mungkin dia ada hala tuju dia dan pilihan dia.
"Saya pun hala tuju dan pilihan saya agak berbeza tapi memang kalau kata memang kalau kita orang daripada mulanya bermain bola kita orang bersama.
"Kalau boleh nak akhiri itu memang kalau boleh nak bersamalah tapi kalau tidak ada rezeki saya rasa dia ada pilihan dia sendiri dan saya ada pilihan saya sendiri.
"Semoga berjaya untuk Aidil, dan saya 'salute' dia antara pemain yang banyak terima piala," ujarnya lagi.
Kali terakhir Aidil dan Zaquan beraksi bersama ketika mewakili JDT pada 2017. — Facebook/JDT
Difahamkan dalam siaran Nadi Weekend, Aidil tidak kekal bersama Johor Darul Takzim (JDT) musim depan sekali gus membolehkan mereka bergandingan semula dengan Negeri Sembilan tampak jadi destinasi terbaik buat dua bekas pemain negara itu.
Jika diimbau kembali perjalanan duo ini, mereka memulakan karier bersama Negeri Sembilan bermula 2005, diikuti Angkatan Tentera Malaysia dan JDT sebelum berpisah pada musim 2017 dengan Zaquan menyertai Perak, manakala Aidil kekal di JDT.
Dan jika ia menjadi kenyataan, Zaquan dan Aidil bakal mencipta satu sejarah unik di mana muncul sebagai pasangan kembar yang memulakan dan mengakhiri karier bersama dengan pasukan yang sama.
Tambahan pula, Zaquan memaklumkan: "Buat masa sekarang ini, masih lagi tunggu NSFC untuk memberi keputusan sama ada mahu teruskan khidmat saya sebagai pemain senior ataupun sebaliknya,"
"Untuk masa sekarang, baru sahaja habis liga dan saya tunggulah, tengok keputusan macam mana dan ada plan A dan plan B, yang saya buatlah," tambah Zaquan — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram