'Saya tertawa sendiri', 8 tahun lalu TMJ pernah tidak iktiraf ABK 2015


  • Podium
  • Ahad, 24 Dis 2023

Sebahagian pemenang-pemenang ABK 2015. — FAM

LIGA bola sepak Malaysia secara rasmi sudah pun melabuhkan tirainya pada hujung minggu lalu dengan kita menyaksikan Johor Darul Takzim (JDT) dinobatkan sebagai juara kali ke-10 Liga Super musim ini.

JDT juga berjaya merangkul ke semua trofi kejohanan domestik sekali gus menyaksikan mereka menjadi pasukan ‘double treble’ selepas merekodkan pencapaian sama musim lalu.

Manakala, skuad Gergasi Merah berjaya kembali ke pentas Asia buat kali pertama selepas lapan tahun.

Dengan kalendar bola sepak secara rasmi melabuhkan tirainya, pemain pastinya ternanti-nantikan Anugerah Sukan Bola Sepak Kebangsaan (ABK) yang mengiktiraf segala pencapaian mereka sepanjang musim.

Pada edisi tahun lalu, JDT mendominasi kategori pemenang anugerah yang dipertandingkan dengan Arif Aiman Hanapi menggondol gelaran Pemain Muda Terbaik, Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Bernilai (MVP).

Manakala bintang Brazil mereka, Bergson da Silva pula menggondol anugerah Penjaring Gol Terbanyak Import Liga Super dan Pemain Import Terbaik. JDT turut meraih anugerah Pasukan Terbaik Liga Malaysia musim ini.

Ketua jurulatih Kedah, Nafuzi Zain pula dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik berikutan pencapaiannya bersama Terengganu musim lalu.

Gol jarak jauh Mukhairi Ajmal Mahadi untuk Selangor pula diiktiraf sebagai Gol Terbaik Liga Malaysia 2022.

Arif Aiman

Arif Aiman menggondol gelaran Pemain Muda Terbaik, Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Bernilai musim lalu.

Namun adakah anda tahu, lapan tahun lalu, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim pernah tidak mengiktiraf ABK 2015 kerana berasakan pemilihan individu yang tidak tepat.

TMJ membuat pengakuan itu menerusi temu bual yang disiarkan di laman sosial akaun Facebook, JDT - Johor Southern Tigers (JST) pada 19 Disember 2015.

Berikut adalah wawancara penuh berkenaan yang dipetik daripada Facebook JST:

Wartawan: Tahniah Tunku, kerana JDT telah mendominasi anugerah bola sepak kebangsaan 2015. Adakah Tunku berasa bangga dengan kejayaan pemain JDT?

TMJ: Sudah tentu, dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemenang, tetapi saya tidak mengambil serius anugerah ini, kerana ianya dilihat dipengaruhi politik. Sepatutnya pengiktirafan diberikan kepada yang layak, bukan untuk menjaga hati pihak-pihak tertentu.

Wartawan: Jadi adakah Tunku mengiktiraf anugerah ini?

TMJ: Tidak. Semasa saya dimaklumkan pihak FAM berkenaan pencalonan, saya tertawa sendiri. Bagi saya, sekiranya hendak mencalonkan anugerah jurulatih terbaik, pilihlah yang mempunyai pencapaian seperti Mario Gomez, Mehmet dan Tan Cheng Hoe, yang telah membuktikan kemampuan dengan pencapaian masing-masing.

Mengapa calonkan Zainal (Zainal Abidin Hassan) yang tiada sebarang pencapaian untuk tahun ini (2015)? Manakala untuk anugerah penyokong terbaik pula, mengapa Pahang yang menerimanya, sedangkan stadium mereka tidak sentiasa penuh, seperti di Larkin juga yang kadangkala tidak penuh?

Bagi saya, yang layak menerima anugerah tersebut adalah penyokong Kedah, kerana stadium mereka sentiasa penuh dari awal hingga ke akhir tahun. Berkenaan hal ini pun, saya telah memberikan nasihat kepada FAM, tetapi apakan daya, nasihat saya bukan boleh mengisi kocek sesiapa pun.

TMJ membuat kenyataan itu sebagai menjawab soalan yang dikemukakan oleh wartawan laman sosial berkenaan dalam satu temu bual.

"Tidak. Semasa saya dimaklumkan pihak FAM berkenaan pencalonan, saya tertawa sendiri," katanya.

PETALING JAYA 18 DECEMBER 2015. Pemain Johor Darul Takzim, Safiq Rahim   dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai , pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid. NSTP/Osman Adnan

Safiq Rahim dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai ABK 2015.

Pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015 itu, lapan daripada 17 anugerah yang dipertandingkan menjadi milik pemain dan pasukan JDT termasuk jurulatih terbaik yang dimenangi Mario Gomez.

Perancang skuad kebangsaan, Safiq Rahim pula dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai iaitu anugerah tertinggi selain selaku Pemain Tengah Terbaik.

Anugerah lain dimenangi oleh JDT adalah Penyerang Terbaik (Amri Yahyah), Pertahanan Terbaik (Aidil Zafuan Abdul Razak), Penjaga Gol Terbaik (Farizal Marlias), Pemain Import Terbaik (Luciano Figueroa). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram