Kurang beraksi, Safawi kerja keras mahu balas kepercayaan Pan-gon di Qatar


  • Podium
  • Sabtu, 30 Dis 2023

Safawi menjaringkan tiga gol dalam lima penampilannya buat skuad kebangsaan sepanjang tahun 2023. — Facebook/FAM

PEMAIN sayap negara, Safawi Rasid mahu membalas kepercayaan yang diberi ketua jurulatih, Kim Pan-gon selepas dipanggil memperkuatkan skuad Harimau Malaya bagi menghadapi cabaran Piala Asia 2023 di Doha, Qatar bulan depan.

Pemain Johor Darul Takzim (JDT) yang dilaporkan bakal dipinjamkan ke Terengganu FC musim depan itu mengakui tidak menjangka khidmatnya masih ditagih pengendali dari Korea Selatan tersebut berikutan kekurangan minit permainan bersama skuad Harimau Selatan tahun ini.

Di sebalik kekurangan minit permainan, Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 dan 2019 itu berkata, dia sentiasa berusaha mengekalkan tahap kecergasan dengan memberikan 100 peratus komitmen dalam setiap sesi latihan yang diadakan.

"Saya tak jangka (dipilih) sebab tahun ini saya kurang bermain dan baru balik dari Thailand (Ratchaburi FC), namun setiap hari saya berikan 100 peratus dalam latihan di kelab dan skuad kebangsaan.

"Jadi, saya percaya kepada barisan kejurulatihan terutama Kim Pan-gon (kerana dia) tahu nak gunakan pemain yang diambil. Kami di sini hanya perlu bekerja keras dan memberikan segalanya dalam latihan,” katanya.

KUALA LUMPUR, 26 Dis -- Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon hadir bagi memantau skuad Harimau Malaya menjalani sesi latihan bagi persediaan menjelang Kejohanan Bola Sepak Piala Asia Qatar 2024 di Wisma FAM hari ini.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pan-gon meletakkan nama Safawi dalam senarai 26 pemain ke kem latihan baru-baru ini.

Selain memberikan tumpuan penuh dalam sesi latihan, Safawi berkata, dia turut melakukan latihan tambahan dan mengekalkan disiplin pemakanan serta menjaga waktu tidur.

Mengulas lanjut, penjaring terbanyak bagi Piala AFF 2020 itu menegaskan Piala Asia merupakan medan permulaan dalam usahanya mencapai prestasi terbaik, sekali gus memperbaiki reputasi yang disifatkan merudum oleh peminat bola sepak tanah air.

"Walaupun kurang bermain, ini peluang terbaik saya beraksi di pentas tertinggi sebab lima tahun lepas main untuk Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) dan sekarang dapat peluang bersama skuad senior pula. Saya akan gunakan (kesempatan) ini sebaik mungkin kalau diberi peluang (beraksi).

"Apa yang penting dalam hati semua (pemain) nak bermain sebagai satu pasukan, tak kisah siapa yang (menjaringkan) gol atau siapa yang tak main, janji kita dapatkan keputusan positif untuk layak ke pusingan 16 terbaik,” katanya.

Keep+working+hard+++#malaysiacup+@officialjohor

Safawi hanya merekodkan dua penampilan Liga Super bersama JDT musim ini. Instagram/Safawi Rasid

Bersama pasukan kebangsaan tahun ini, Safawi membuat lima penampilan daripada keseluruhan 10 perlawanan dengan menjaringkan tiga gol, masing-masing satu gol menentang Kepulauan Solomon dan dua gol bertemu Papua New Guinea pada Jun lepas.

Sementara bersama JDT, pemain berusia 26 tahun itu membuat dua penampilan dalam saingan Liga Super selepas kembali menyertai pasukan daripada tempoh pinjaman di Ratchaburi pada April lepas.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun layak secara merit ke Piala Asia, akan memulakan saingan Kumpulan E menentang Jordan pada 15 Januari ini.

Mereka kemudiannya akan bertemu Bahrain pada 20 Januari sebelum menutup aksi kumpulan dengan aksi berdepan juara dua kali, Korea Selatan pada 25 Januari. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram