ROMEL Morales nyata tidak sangka bakal sarung jersi Harimau Malaya sejurus bergelar pemain naturalisasi apabila dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan menjelang kempen Piala Asia Januari 2024,
Baginya perkara ini adalah satu agenda penting bagi dirinya selain berharap mampu galas tanggungjawab besar ini dalam hadapi cabaran gergasi Asia di pentas yang cukup berprestij itu.
Menurutnya lagi, semangat untuk membuktikan kemampuan diri di atas padang cukup membara selepas melihat barisan pemain lain bertungkus lumus dalam merebut slot dalam kesebelasan terbaik negara.
"Sudah pasti ini bukan sesuatu yang mudah tetapi bagi saya negara ini adalah sangat istimewa, saya merasakan saya adalah sebahagian dari negara ini.
"Saya punya banyak pengalaman yang saya lalu dalam negara ini, dan dalam masa enam tahun saya luangkan banyak masa dalam negara ini dan pastinya negara ini sangat istimewa untuk saya.
"Dan bila mana saya dapat peluang ini, saya ambil peluang ini sebaiknya dan saya syukur saya berada di sini sekarang," katanya kepada Nadi Arena.
Namun timbul persoalan adakah Romel Morales mampu beraksi dengan baik selepas dia dikaitkan dengan masalah displin untuk memberikan 100 peratus (%) ketika beraksi di atas padang.
Perkara itu menjadi topik perbualan dua personaliti televisyen bola sepak iaitu Keeshmatstats dan Faiz Gurun dalam satu program Astro Arena, Bola itu Life baru-baru ini.
Keesh berkata, melihat temu bual beberapa jurulatih yang pernah melatih Romel menyatakan dia ada masalah untuk memberikan 100% komitmen di atas padang.
"Romel Morales masih lagi muda dan ada banyak tahun, sekarang ini dia ada tanggungjawab besar dah dapat kerakyatan Malaysia untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.
"Kalau tengok Nenad Bacina (ketua jurulatih KL City) punya 'interview', Nenad cakap satu benda sahaja bila ditanya tentang Romel punya penghijrahan ke JDT.
"Dia kata 'good luck to him, he is a good player but he has to change his attitude' dan itu bukan sekadar Nenad saja yang cakap.
"Sesiapa yang pernah berborak dengan pemain-pemain KL City, berborak dengan jurulatih-jurulatih yang pernah melatih dia tak kisahlah di KL City, Melaka United atau PKNS FC dia pemain yang ada isu-isu memberikan 100% komitmen di atas padang dan di luar padang," katanya dalam program tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram