'Playmaker' PDRM FC antara 4 pemain 'biasa-biasa' boleh bantu kelab Liga Super berjimat musim depan


  • Podium
  • Jumaat, 29 Dis 2023

Macauley (tengah) antara pemain yang bakal menjadi tumpuan banyak kelab musim depan.

PERUBAHAN jadual Liga Super pada musim depan memaksa banyak pasukan untuk menstrukturkan semula status kewangan bagi kelangsungan jangka panjang.

Johor Darul Takzim (JDT) antara pasukan yang sudah mula melakukan pemotongan bajet sebanyak 30-40 peratus (%) untuk menghadapi musim depan.

Jika Harimau Selatan yang mempunyai bajet besar dalam Liga Super mengambil keputusan untuk mengurangkan bajet mereka musim depan, pastinya pasukan lain juga menghadapi situasi sama untuk menghadapi saingan liga.

Dengan itu Majoriti senaraikan empat pemain import 'biasa-biasa' yang tampil cemerlang musim ini dalam Liga Malaysia:

Ebenezer Assifuah

Assifuah tidak dapat peluang untuk beraksi bersama skuad utama.

1. Ebenezer Assifuah (Kedah Darul Aman FC B)

Musim ini menyaksikan Kedah Darul Aman FC (KDA) FC sering bertukar import, lebih-lebih lagi untuk menguatkan barisan serangan pasukan.

Sehinggakan penyerang kelahiran Ghana, Ebenezer Assifuah tidak dapat peluang untuk beraksi bersama skuad utama.

Pemain yang diletakkan dalam skuad Piala MFL Sang Kenari itu mencuri nama selepas muncul sebagai penjaring terbanyak dengan 16 gol daripada 20 penampilan.

Pulangan berbaloi berkenaan meletakkan namanya sebagai import terbaik meskipun kebolehannya masih belum dibuktikan dalam Liga Super.

Jadi, sekiranya pasukan-pasukan Liga Super lain mampu memberikannya peluang, terdapat kemungkinan pemenang Kasut Emas Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) pada 2013, akan menggegarkan senarai pemain terbanyak musim depan.

Abu Kamara

Abu Kamara berjaya menjaringkan 13 gol dalam saingan Liga M musim ini.

2. Abu Kamara (Kuching City)

Abu Kamara berjaya menjaringkan 13 gol dalam saingan Liga M musim ini walaupun bermain bersama pasukan yang menduduki antara tangga terbawah liga.

Sekiranya Kamara berpeluang untuk beraksi bersama kelab gergasi seperti Kedah Darul Aman FC atau Selangor FC musim depan, sudah pasti potensi pemain kelahiran Liberia ini lebih bersinar.

Pastinya, tidak mustahil Kamara akan meninggalkan skuad The Cats kerana kedudukan Kuching City berada di tangga tercorot liga musim ini.

James

Okwuosa merupakan tonggak penting untuk skuad The Cops musim ini.

3. James Okwuosa (PDRM FC)

Pertahanan berusia 32 tahun dari Nigeria, James Okwuosa merupakan tonggak penting untuk skuad The Cops musim ini dengan dia tampil dalam 24 perlawanan Liga Super.

Kehadiran pemain berketinggian 1.88 meter (m) jelas menstabilkan pasukan selepas berjaya mengawal kemas benteng pertahanan PDRM yang dilihat sukar dibolosi pada pusingan kedua Liga Super.

Okwuosa juga membantu PDRM FC muncul juara Piala Cabaran buat kali pertama selepas menewaskan Kuching City 4-1 secara agregat pada aksi final kedua di Stadium Negeri, Kuching pada awal Disember lalu.

Menurut ciapan dari wartawan The Star, T. Avineshwaran, pemain pertahanan The Cops itu dikatakan sedang dipantau oleh pasukan Kuching City namun majikannya masih mahu menggunakan khidmatnya pada musim depan.

Macauley

Macauley (kiri) bakal menjadi buruan banyak kelab selepas dia cemerlang mengawal bahagian tengah The Cops musim ini.

4. Marcus Macauley (PDRM FC)

Antara tonggak utama PDRM FC musim ini, Marcus Macauley bakal menjadi buruan banyak kelab selepas dia cemerlang mengawal bahagian tengah The Cops musim ini.

Walaupun tidak banyak menjaringkan gol musim ini, tetapi gerak geri dan corak permainan yang ditampilkannya mengucar-ngacirkan pertahanan pihak lawan.

Pemain berusia 32 tahun itu juga mempunyai pengalaman di pentas antarabangsa selepas dia menjadi tonggak utama skuad nasional Liberia ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram