Lepas 2 import Croatia, pemain berdarah kacukan Indonesia pula dikaitkan ke Terengganu


  • Podium
  • Khamis, 28 Dis 2023

Steenvoorde ketika beraksi bersama SC Cambuur Leeuwarden pada 2016. — Agensi

TERENGGANU FC (TFC) mula melakukan persiapan untuk menghadapi saingan musim depan apabila tidak mengekalkan beberapa pemain import seperti Sony Norde dan Habib Haroon meskipun mereka beraksi cemerlang.

Dua tonggak import itu dikhabarkan berpisah dengan Sang Penyu kerana pihak pengurusan mahu menjimatkan kos memandangkan Liga Malaysia (Liga M) musim depan akan lebih panjang.

Sebelum ini, wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi memuat naik ciapan dalam laman X bahawa TFC dijangka bawa dua pemain import baharu dari Croatia.

Pemain-pemain tersebut akan mengisi kekosongan di pertahanan dan tengah TFC pada musim depan dan dijangka tiba pada Februari 2024.

"Terengganu dijangka bawa masuk dua tonggak import baru dari Croatia masing-masing di posisi pertahanan dan tengah.

"Kedua-dua pemain ini difahamkan bakal tiba di Kuala Terengganu pada Februari depan," ciapnya.

Ivan Mamut

Ivan Mamut antara pemain import yang dikekalkan. TFC

Namun baru-baru ini, laman @11Terengganu memuat naik dua gambar bendera negara iaitu Belanda dan Croatia.

Dalam ruangan komen hantaran itu, salah seorang penyokong menyatakan pemain berdarah Belanda-Indonesia mungkin menjadi sasaran pihak pengurusan TFC.

"Matthew Steenvoorden? Pemain kacukan Belanda-Indonesian," kata @FPL_Ashwin.

Jadi siapakah Matthew Steenvoorde yang dikatakan mempunyai darah kacukan dengan negara jiran itu?

Steenvoorde musim ini beraksi bersama Pakhtakor Tashkent di Liga Uzbekistan dan itu merupakan pengalaman pertama dia beraksi dalam Asia.

Pemain berusia 30 tahun itu banyak beraksi di Liga Belanda bersama Feyenoord Rotterdam, Excelsior Rotterdam, FC Dordrecht dan SC Cambuur Leeuwarden sebelum berhijrah ke Croatia pada 2019.

Musim ini, pemain berketinggian 1.88 meter (m) itu hanya beraksi dalam 10 perlawanan bersama Pakhtakor Tashkent termasuk Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Tiada info rasmi berkaitan perpindahan Steenvoorde ke Terengganu musim depan, malah rekod dia mempunyai darah kacukan dengan Indonesia juga belum sahih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram