[VIDEO] Pulih dari kecederaan, Adli Hafidz raih gelar juara WBC Asia Continental di Bangkok


  • Podium
  • Khamis, 28 Dis 2023

Petinju negara, Adli Hafidz Mohd Pauzi bergelar juara dalam WBC Asia Continental. — Facebook/AdliGoldenboy

PETINJU negara, Adli Hafidz Mohd Pauzi berjaya menghapus badi kekalahan di Bangkok, Thailand selepas menewaskan Apisit Sanmuang dalam aksi Kejuaraan World Boxing Championship (WBC) Asia Continental.

Adli yang tidak mengenal erti putus asa itu berjaya membuktikan bahawa dirinya lebih layak memiliki tali pinggang kejuaraan tersebut.

Menerusi satu perkongsian video Astro Arena, Adli sempat mengucapkan terima kasih kepada penyokong di tanah air.

Ditanya mengenai perasaan meraih gelaran juara tersebut sekali gus menghapus badi kekalahan di Bangkok, Adli bagaimanapun mengucap syukur atas sokongan dan dorongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.

"ALHAMDULLILAH, syukur ke hadrat ilahi atas kurniaan limpah rahmat dan juga kekuatan yang diberikan.

"Kejayaan ini untuk semua rakyat Malaysia terutamanya rakyat Johor.

"Saya hadiahkan kejayaan kepada ini kepada kedua ibu bapa, isteri tercinta dan juga kawan-kawan serta peminat yang sudah menyokong saya," katanya.

Sebelum ini, Adli mengalami putus ligamen di bahagian buku lali pada Julai dan hampir terlepas peluang beraksi dalam kejuaraan tersebut.

"Selepas enam bulan pulih daripada kecederaan, saya berjaya buktikan bahawa tiada yang mustahil.

"Hasil daripada sokongan Institut Sukan Negara (ISN) dan juga jurulatih, saya juga dapat berjaya bawa pulang kejuaraan ini.

"Teruskan menyokong kami. Majulah sukan untuk Malaysia dan negeri Johor," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram