KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon berharap agar pasukan kebangsaan mempunyai satu lagi perlawanan persahabatan bagi memulakan kempen Piala Asia di Doha, Qatar pada 13 Januari sehingga 10 Februari depan.
Pasukan kendalian Pan-gon yang dijadual berdepan Syria pada 8 Januari bagaimanapun merasakan beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini tidak mencukupi untuk anak-anak buahnya beraksi di pentas Asia.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini mengesahkan aksi persahabatan bertemu Arab Saudi terpaksa dibatalkan atas permintaan Ketua Jurulatih baharunya, Roberto Mancini disebabkan pengendali dari Itali itu mencongak pasukannya berkemungkinan bertemu Malaysia di pusingan 16 terbaik Piala Asia.
Ketajaman Arif Aiman Hanapi (tengah) ditagih untuk membantu Harimau Malaya dalam aksi Piala Asia nanti. — Facebook/FAM
Situasi itu menyukarkan Pan-gon dan FAM yang dilihat berhempas pulas mencari lawan untuk aksi pemanas badan.
“Kami kini sedang mencari lawan lain yang ada dan sukar untuk mencari pengganti saat akhir. Kebanyakan pasukan sudah bersedia dengan rancangan mereka.
“Sudah tentu, satu perlawanan persahabatan tidak mencukupi. Saya sangat kecewa tetapi bagaimanapun, kami akan mengatasi situasi ini," kata pengendali kelahiran Korea Selatan itu.
Sementara itu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberi jaminan bahawa pihaknya akan membantu mendapatkan satu lagi perlawanan persahabatan buat pasukan negara dengan sekurang-kurangnya menentang kelab tempatan di Doha.
"Pasukan akan berlepas pada 1 Januari dan jika boleh pada 4 Januari, kami akan mengatur perlawanan persahabatan menentang pasukan kelab," katanya.
Malaysia boleh menjangkakan masa yang sukar dalam kempen Piala Asia mereka kerana mereka adalah antara pasukan tercorot dalam pertandingan itu.
Skuad kebangsaan bakal memulakan kempen Piala Asia dengan aksi bertemu Jordan pada 16 Januari diikuti pertemuan dengan Bahrain pada 20 Januari dan Korea Selatan pada 25 Januari. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram