Guna player lokal sepenuhnya? Ramai nasihatkan Penang FC jangan terlalu drastik


  • Podium
  • Khamis, 28 Dis 2023

Mampukah PThe Panthers mencabar dengan menggunakan anak tempatan sepenuhnya musim depan? — Facebook/Penang FC

PENANG FC membuat keputusan drastik apabila menetapkan pendirian untuk tidak menggunakan sebarang pemain import pada musim depan.

Reaksi hasil daripada keputusan tersebut jelas berbeza-beza dalam kalangan penyokong. Ada yang menanggap ia satu tindakan ke belakang tetapi tidak kurang yang menyokong.

Tindakan Harimau Kumbang itu tidak ubah seperti yang dilakukan sebuah pasukan Lembah Klang ketika dahulu iaitu PJ City FC. Pada waktu tersebut, mereka dipuji kerana mengutamakan anak tempatan.

Tetapi adakah ia satu tindakan tepat untuk dilakukan? Analisis ringkas Majoriti mengupas apa akan terjadi jika Penang berbuat demikian.

Belajar dari kisah PJ City

Pendekatan yang dibuat oleh PJ City sebelum ini mendapat pujian ramai kerana mengutamakan anak tempatan. Ditambah dengan keputusan baik diraih ketika itu, ia membuktikan satu-satu kelab Malaysia boleh bersaing tanpa pemain import.

Namun begitu, hakikat perlu diakui semua adalah untuk lebih kompetitif perlu adanya satu, dua pemain import. Jika Penang hendak mengikut apa yang PJ City buat, mereka tidak perlu buat 100 peratus.

407856269_893166522324003_4286820941695736173_n

Rafael Vitor harus dikekalkan demi keseimbangan pasukan. — Facebook/Penang FC

Sebaliknya, mereka boleh mengubah sikit acuan tersebut dengan mengekalkan dua, tiga pemain import yang menjadi nadi pasukan seperti Rafael Vitor. Jika Penang terlalu drastik dalam mengubah wajah pasukan, berkemungkinan prestasi akan jatuh merudum.

Benar, tanpa pemain import perbelanjaan pasukan boleh dikurangkan. Tetapi, jika ada satu, dua yang berkualiti dalam pasukan pun masih tak ganggu kantung kelab.

Kesinambungan perlu ada

Jika hendak menerapkan falsafah mengutamakan anak tempatan, ia perlulah mempunyai kesinambungan jelas dan tidak terhad kepada skuad utama sahaja.

Maksudnya di sini, jika Penang bersedia untuk menerima falsafah menggunakan pemain tempatan, mereka harus bersedia menjadi sebuah kelab yang sentiasa menghasilkan anak watan berkualiti di padang bola.

324095415_916964172807592_4955113874214971767_n

Alif Ikmalrizal antara pemain muda berpotensi tinggi dimiliki Penang. — Facebook/Penang FC

Oleh itu, pembangunan di peringkat akademi merentasi skuad Piala Belia, Piala Presiden, Piala MFL hinggalah ke Liga Super haruslah seiring dan satu acuan DNA bola sepak Penang perlu diwujudkan dan dibangunkan di semua peringkat.

Masa ini, kelab perlu melantik pengarah teknikal berkualiti untuk memacu pembangunan kelab secara menyeluruh.

Tapi, bersediakah pengurusan?

Satu tanda soal diberikan kepada pengurusan tertinggi kelab adalah, bersediakah mereka untuk mengubah wajah Penang?

Perubahan itu bukanlah dibuat sekadar pada barisan pemain atau jersi yang dipakai, sebaliknya kepada corak pengurusan yang menjurus kepada pembentukan kelab yang benar-benar mengutamakan anak tempatan.

408006420_893167978990524_7103026853848902807_n

Akmal Rizal boleh membimbing anak watan Penang pada musim depan. — Facebook/Penang FC

Pengurusan kewangan haruslah cekap supaya tiada masalah gaji sambil boleh membangunkan pelbagai fasiliti yang diperlukan untuk mewujudkan sebuah pasukan kompetitif. Kebergantungan kepada kerajaan negeri harus dikurangkan dari tahun ke tahun.

Seandainya perkara ini masih sukar untuk diubah oleh pengurusan, usaha mengutamakan anak tempatan hanya akan jadi hangat-hangat tahi ayam saja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram