PASUKAN Pantai Timur, Terengganu FC kini sedang giat mempersiapkan pasukan mereka bagi menghadapi cabaran Liga Super musim depan.
Selepas Tomislav Steinbruckner berjaya mengharungi musim pertamanya bersama Terengganu dengan baik. Kini, tumpuannya tertumpu untuk memastikan skuad Penyu lebih mencabar musim depan.
Musim ini, Terengganu menamatkan saingan Liga Super di kelompok pertengahan sambil berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia dan menjadi naib juara.
Kini, rekod tersebut perlu dibaiki dengan Terengganu perlu memberikan aksi lebih mantap pada musim depan. Oleh itu, Steinbruckner dan Terengganu mula bekerja keras menguatkan pasukan.
Menurut pemerhati bola sepak, T. Avineshwaran, Terengganu dilaporkan telah berbelanja sakan dengan mendapatkan khidmat para pemain muda untuk menguatkan pasukan.
Menerusi siarannya di X (Twitter), Avineshwaran mengatakan Terengganu bersedia mendapatkan pemain Kelantan FC iaitu Khala'if Naskam. Kini mereka dikatakan telah menyambar rakan sepasukan pemain tersebut iaitu M. Rakesh.
Sebagai rekod, Khala'if merupakan pemain penyerang sementara Rakesh beraksi sebagai pertahanan untuk The Red Warriors.
Setelah berjaya mendapatkan duo pemain Kelantan, Terengganu dilaporkan telah menyambar ubi muda daripada Kedah Darul Aman FC serta Perak FC.
Khala'if Naskam antara pemain Kelantan yang menyinar pada musim ini. — Facebook/Kelantan FC
Mereka dilaporkan berjaya mendapatkan pemain tengah iaitu Azraf Azam dari Sang Kenari selain Ikhwan Hafizo daripada The Bos Gaurus.
Seperti Azraf, Ikhwan merupakan pemain yang beraksi di bahagian tengah tetapi lebih sebagai pemain tengah menyerang atau attacking midfielder.
Rekrut yang dilakukan Terengganu itu hanya menanti waktu sebelum kelab tersebut mengumumkan kehadiran mereka sebagai pemain rasmi.
Tindakan pantas Terengganu mendapatkan empat pemain baharu itu dilihat sebagai usaha awal menguatkan pasukan. Namun begitu, tidak dapat dipastikan adakah keempat-empat pemain tersebut akan diletakkan di skuad utama atau Terengganu FC II.
Dengan perkhabaran Terengganu akan mengurangkan kos perbelanjaan musim depan, tindakan membawa ramai pemain muda menjadi mesej jelas skuad Penyu ingin membina skuad untuk jangka masa panjang.
Tambahan pula, mereka dijangka akan menggunakan lima pemain import sahaja musim depan dengan nama-nama seperti Sony Norde dan Habib Haroon dijangka akan meninggalkan pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram