SKUAD bawah 23 tahun (B-23) Malaysia menjalani dua perlawanan persahabatan di China dengan bertemu pasukan remaja negara tersebut.
Dua keputusan berbeza dicatat skuad Juan Torres Garrido iaitu menang 1-0 pada perlawanan pertama serta tewas 1-2 pada aksi kedua.
Melihat kepada dua keputusan tersebut, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Sadek Mustaffa mengatakan yang masih lagi banyak perkara perlu dibaiki untuk memastikan mereka boleh mencabar di Piala Asia B-23.
Pada hemat Sadek, skuad muda negara haruslah membaiki aspek terutamanya dari segi mentaliti sebagai pemain.
"Mereka masih belum matang dalam pertandingan kompetitif aras tinggi dan masih tidak konsisten. Mereka perlu cepat belajar dan mesti tukar mindset pejuang untuk maju dan berjaya.
"Displin dalam semua kualiti (perlu ditingkatkan) untuk menjadi juara," kata Sadek kepada Majoriti.
Izwan Yuslan (tengah) menjaringkan gol untuk Malaysia ketika perlawanan kedua bertemu China. — Facebook/FAM
Melihat kepada dua keputusan tersebut, Sadek berasakan yang masih lagi banyak yang perlu dibaiki oleh Garrido dan barisan kejurulatihan menjelang kejohanan utama di Qatar pada April 2024.
Walaupun pemain seperti Rahadiazli Rahalim melakukan kesilapan mudah ketika beraksi pada perlawanan persahabatan, Sadek berasakan biarlah ia berlaku bukan pada kejohanan sebenar.
"Pada pandangan saya, perlawanan persahabatan ada medan mengukur keupayaan pemainan dari semua aspek. Kesilapan yang dilakukan semasa perlawanan tersebut antaranya disebabkan kekurangan match fitness dan tekanan permainan.
"Di sini barisan jurulatih perlu memainkan peranan mereka mempertingkatkan prestasi seseorang pemain. Memberikan peluang kepada semua pemain, akan memberikan mereka meraih pengalaman dan perbaiki kelemahan dan kekurangan.
"Semua pemain perlu bangkit dalam skuad B-23 sebab prestasi mereka sebenarnya tidak mencapai tahap yang bakal melayakkan mereka dalam Piala Asia B-23 atau Sukan Olimpik di Paris pada 2024," kata Sadek lagi.
Sadek juga berpendapat yang skuad remaja negara tidak perlu diberikan harapan terlalu tinggi untuk berjaya. Hal ini kerana, keupayaan skuad B-23 masih belum setanding pasukan senior yang sentiasa menyerlah.
Namun begitu, sekiranya Garrido berjaya mengubahnya, pasukan kita boleh mencabar dan akan digeruni di peringkat Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram