HASRAT penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk menyaksikan kelibat bintang K-League, Osmar Barba, bersama skuad Sang Kenari musim depan tidak kesampaian apabila pengurus pasukan berkenaan, Zul Fadli Rozi, menafikan kehadiran bekas pertahanan FC Seoul tersebut, lapor Stadium Astro.
Ini selepas pemain kelahiran Sepanyol berusia 35 tahun itu dikaitkan untuk ke bumi Hijau Kuning berkenaan oleh media Korea Selatan setelah kontraknya tidak dilanjutkan.
"Saya tidak tahu macam mana media Korea boleh keluarkan berita itu, jadi saya menafikanlah perkara tersebut.
"Saya rasa kami juga tidak mampu untuk mengambil pemain yang bertaraf bintang dalam K-League seperti itu," katanya kepada pemerhati sukan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Osmar merupakan ketua pasukan FC Seoul. — Facebook/FC Seoul
Sebelum ini, timbul satu perkhabaran mengatakan yang Kedah kini bersedia untuk membawa pemain pertahanan baharu bagi menguatkan skuad mereka.
Osmar dikhabarkan bakal memperkuatkan benteng pertahanan KDA FC pada saingan Liga Malaysia musim depan.
Untuk rekod, pemain berketinggian 1.92 meter antara pemain pertahanan kualiti yang pernah dimiliki oleh kelab FC Seoul tersebut kerana setia bersama Seoul untuk 10 musim.
Di samping itu, sebelum ini, kem Sang Kenari dikhabarkan mahu mendapatkan khidmat penjaga gol Terengganu FC (TFC), Rahadiazli Rahalim untuk saingan liga musim depan.
Namun, tampil menjawab desas-desus tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC), Mohd Sabri Abas menafikan khabar angin berkenaan sekali gus enggan melepaskan penjaga gol skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara itu ke kelab lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram