PEMAIN pertahanan tengah Sri Pahang FC, Michael Glassock mengimbau kembali musim pertamanya dalam Liga Super sebagai musim yang tidak dapat dilupakan dan mendidik.
Bek tengah berusia 24 tahun itu menyertai skuad Tok Gajah pada awal musim 2023.
Glassock bagaimanapun berjaya membuktikan bahawa pembeliannya tidak sia-sia apabila menampilkan aksi persembahan memukau selepas mengawal ketat beberapa penyerang terbaik dalam Liga Super.
“Secara keseluruhan, saya percaya saya telah banyak memberi sumbangan dan membantu pasukan mengekalkan tujuh clean sheet dalam saingan Liga Super.
“Liga Super mempunyai banyak pasukan berkualiti dengan pemain tempatan dan import yang sangat berbakat. Setiap permainan memberikan cabaran dan halangan baharu.
"Memberi saingan kepada penyerang terbaik adalah ujian yang baik untuk saya dan saya berhasrat untuk melakukan lebih baik musim depan," kata Glassock, yang membuat penampilan sulung profesionalnya pada 2017 bersama Central Coast Mariners.
Glassock menyifatkan musim pertama bersama skuad Tok Gajah menakjubkan. — Facebook/Sripahangfc
Walaupun dia berbesar hati membantu Pahang mencapai sasaran mereka untuk menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik, Glassock berasakan musim depan skuad Tok Gajah boleh menjadi tiga terbaik.
"Disebabkan kesilapan sendiri, kami gagal mendapat tempat tiga terbaik liga, kami sepatutnya tidak mensia-siakan peluang yang ada tapi kami akan buat yang terbaik musim depan.
"Tetapi ia adalah satu keseronokan bermain dengan semua rakan sepasukan saya. Saya belajar banyak daripada mereka dan kami mempunyai pemahaman yang baik. Dengan lebih konsisten, kami boleh pergi lebih jauh musim depan," ujarnya lagi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram