TERENGGANU FC (TFC) menafikan khabar angin bahawa penjaga gol, Rahadiazli Rahalim akan berpindah ke kelab lain musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC), Mohd Sabri Abas berkata, setakat ini, skuad Penyu tidak merancang untuk melepaskan penjaga gol skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara itu ke kelab lain, walaupun terdapat pelbagai spekulasi mengenai perpindahannya itu berlegar melalui media sosial.
Sabri berkata, penjaga gol muda kelahiran Kuala Terengganu itu masih memiliki kontrak bersama TFC hingga 2025 dan setakat ini, belum ada mana-mana kelab yang menawarkan rundingan untuk mendapatkan khidmat pemain berkenaan.
"Rahadiazli masih bersama TFC musim depan. Berita perpindahan hanya khabar angin dan cerita biasa pada akhir musim liga," katanya ketika dihubungi Bernama.
Tahun ini menyaksikan musim yang agak suram bagi Rahadiazli apabila dia hanya tampil dalam tujuh perlawanan dengan 630 minit permainan dalam Liga Super.
Selain itu, dia juga hanya beraksi selama 90 minit dalam Piala FA sebelum diberi peluang 90 minit semasa kempen Piala Malaysia.
Prestasi kurang cemerlang menyebabkan posisinya sebagai penjaga gol utama TFC musim lepas digantikan dengan Suhaimi Hussin. — Facebook/Terengganu FC
Dengan kelebihan fizikal, Rahadiazli dilihat memiliki pakej lengkap untuk menjadi penjaga gol terbaik, namun malangnya dia sentiasa dihimpit masalah kecederaan.
Prestasi kurang memberangsangkan penjaga gawang berusia 22 tahun itu menyebabkan posisinya sebagai penjaga gol utama TFC musim lepas digantikan dengan Suhaimi Hussin oleh Ketua Jurulatih Tomislav Steinbruckner.
Malah, Steinbruckner dalam satu sidang media selepas perlawanan menentang kelab Indonesia, Bali United pada saingan Piala Konfederasi Asia (AFC) turut meluahkan saranannya agar Rahadiazli berhijrah ke pasukan lain demi masa depan dan perjalanan kariernya yang masih jauh.
Rahadiazli ketika ini dikaitkan dengan dua kelab utama Liga Super iaitu Sri Pahang FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang sekiranya menjadi kenyataan, akan mempertemukan semula pemain itu dengan bekas pengendali skuad Penyu, Nafuzi Zain yang kini menerajui Sang Kenari. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram