[VIDEO] Bekas 'keeper' Arsenal tolak budak Milo lewatkan permainan


  • Podium
  • Rabu, 27 Dis 2023

Tangkap layar memaparkan Leno (hijau) menolak pengutip bola untuk memulakan semula aksi dengan segera.

AKSI Liga Perdana Inggeris (EPL) antara Bournemouth dan Fulham pada Selasa dikejutkan dengan tindakan penjaga gol pasukan pelawat, Bernd Leno yang bertindak kasar terhadap budak pengutip bola.

Tindakan yang dilakukan pada minit ke-80 itu dilihat berpunca akibat emosi pemain antarabangsa Jerman tersebut selepas pasukannya sedang ketinggalan dua gol.

Jadi, dalam usaha mempercepatkan permainan, dia cuba mendapatkan bola dengan segera, namun pengutip bola yang tidak bekerjasama membuatkannya berang.

Leno kemudiannya dilihat menolak kanak-kanak lelaki berkenaan dengan kelakuannya itu membuatkan rata-rata penyokong Bournemouth kurang senang dengannya.

Menyedari situasi terbabit, pengadil mengarahkan pengutip bola terbabit untuk meninggalkan kawasan di tepi padang supaya keadaan tidak menjadi semakin keruh.

Bercakap selepas perlawanan, pengurus Fulham, Marco Silva melihat tindakan bekas penjaga gol Arsenal terbabit sudah meminta bola diberikan dengan segera.

"Dia mahu permainan disegerakan. Saya tidak tahu siapakah memberi arahan kepada petugas berkenaan untuk melewatkan pemberian bola kepada Leno.

"Saya lihat kita sedang ketinggalan dan Leno berlari ke arah bola. Dia menyentuhnya, tetapi dia tidak menolaknya. Ia merupakan hal berbeza," katanya.

Insiden terbabit menyaksikan penjaga gol berusia 31 tahun itu dilayangkan kad kuning, namun terdapat kemungkinan dia akan dikenakan hukuman lebih berat.

Perkara itu pastinya sukar diterima, lebih-lebih lagi selepas Fulham mengalami kekalahan ke-10 mereka dalam 19 aksi EPL musim ini.

Skuad The Cottagers kini berada di kedudukan ke-13 EPL sementara Bournemouth yang membawa pulang tiga mata penuh menduduki tangga ke-10 selepas 18 perlawanan setakat ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram