[VIDEO] Saliba akui Arsenal, Odegaard bernasib baik


  • Podium
  • Ahad, 24 Dis 2023

Saliba beraksi dengan cemerlang dalam membantu Arsenal meraih keputusan seri ketika berdepan Liverpool. — Agensi

AKSI cukup hangat ditampilkan dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal dan Liverpool dalam aksi di Stadium Anfield pada awal pagi Ahad.

Jaringan seawal minit keempat daripada bek tengah pasukan pelawat, Gabriel Magalhaes meletakkan mereka di depan selepas pemain itu bijak menggunakan kelebihan fizikalnya.

Gol itu memberikan tekanan buat skuad The Reds apabila mereka terus melakukan percubaan demi percubaan ke arah gawang Arsenal.

Bagaimanapun, usaha mereka hampir membuahkan hasil pada minit ke-20 setelah kapten The Gunners, Martin Odegaard dilihat dengan sengaja menepis bola di dalam kotak penalti.

Dia yang ketika itu hampir terjatuh ketika cuba mengekang gerakan Mohamed Salah dengan jelas menggunakan tangan untuk mengubah pergerakan bola, sekali gus menggagalkan serangan tuan rumah.

Rakaman penyokong mengenai tindakan Odegaard menggunakan tangannya.

Namun, nasib tidak menyebelahi anak-anak buah Jurgen Klopp apabila pengadil perlawanan, Chris Kavanagh tidak memberikan sepakan penalti buat mereka.

Keputusan itu turut disokong pihak video bantuan pengadil (VAR) yang berasakan tindakan Odegaard untuk menepis bola dibuat secara tidak sengaja.

Liverpool kemudiannya mengikat kedudukan pada minit ke-29 menerusi jaringan cantik Mo Salah dengan skor itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.

Bagaimanapun, perbincangan hangat diteruskan di media sosial dengan ramai berasakan skuad The Reds sepatutnya diberikan sepakan penalti.

Pandangan tersebut seperti turut disokong tonggak pertahanan Arsenal, William Saliba yang berpendapat pasukannya bernasib baik atas keputusan pengadil itu.

Kenyataan Saliba kepada media yang berasakan pengadil perlu diberikan kepada Liverpool.

"Ya, sudah tentu ia merupakan penalti buat Liverpool. Tetapi, saya bukanlah seorang pengadil dan kita perlulah menerima keputusan dibuat," katanya.

Dalam perlawanan itu, gandingan Saliba dan Gabriel memberikan kesukaran buat skuad kendalian Klopp untuk mencari gol kedua dengan keserasian kedua-dua pemain cukup penting.

Keputusan akhir itu menyaksikan Arsenal kekal di tangga teratas, namun hanya satu mata membezakan mereka dengan Liverpool yang sudah mengutip 39 mata daripada 18 perlawanan.

The Gunners selepas ini bakal menerima kunjungan West Ham United di laman sendiri pada Jumaat sementara Liverpool akan berdepan pasukan bergelut, Burnley pada Rabu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram