[VIDEO] Pengurus Crystal Palace ketawa 'jahat' lihat Guardiola kecewa City bolos minit akhir


  • Podium
  • Ahad, 17 Dis 2023

Hodgson (kiri) gembira melihat Guardiola (kanan) kecewa. — Agensi

BOLA sepak merupakan sukan yang kompetitif, bagi setiap pemain yang beraksi mereka pastikan akan memberi persembahan terbaik untuk mendapatkan kemenangan.

Namun begitu, ia bukanlah terhad kepada pemain sahaja. Tetapi, pengurus turut mempunyai sikap kompetitif yang tinggi tidak kira tahap sesebuah perlawanan tersebut diadakan.

Sebagai contoh, perlawanan English Premier League (EPL) antara Manchester City dengan Crystal Palace menghasilkan persembahan kompetitif antara kedua-dua pasukan.

City yang dalam misi untuk mengejar kedudukan teratas liga berjaya mendapatkan dua gol menerusi Jack Grealish dengan Rico Lewis.

Namun sayangnya, 15 minit terakhir permainan menjadi mimpi ngeri buat City apabila mereka memboloskan dua gol menerusi jaringan Jean-Philippe Mateta serta Michael Olise menerusi sepakan penalti.

Apa yang menarik mengenai jaringan Olise tersebut adalah ia berlaku ketika masa kecederaan. Ia sekali gus menafikan City dengan tiga mata di laman sendiri apabila mereka cuma mampu seri 2-2.

Jaringan minit akhir oleh Olise tersebut nyata begitu menyakitkan hati pengurus City, Pep Guardiola. Dalam reaksinya terhadap gol tersebut, Guardiola jelas begitu kecewa kerana pasukannya gagal menghalang jaringan tersebut daripada berlaku.

Akan tetapi, saat Guardiola begitu kecewa dengan situasi tersebut ia merupakan detik gembira buat Roy Hodgson. Ketika Guardiola sedang menonjolkan perasaan kecewanya, Hodgson dilihat secara terbuka mentertawakan pengurus tersebut kerana pasukannya bolos.

Kekecewaan Guardiola itu amat difahami kerana dari perspektif City, keputusan seri tersebut menyebabkan mereka kini berada di tempat keempat EPL, tiga mata ditinggalkan oleh pendahulu liga, Liverpool.

Namun jurang tersebut boleh menjadi lebih luas sekiranya Liverpool berjaya menumbangkan musuh tradisi, Manchester United pada aksi yang diadakan di Anfield pada awal pagi Isnin waktu Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram