Tak jadi sambar Osmar, kereta kebal Liverpool antara 3 calon berpotensi dalam radar Sang Kenari


  • Podium
  • Rabu, 27 Dis 2023

Juan Izquierdo merupakan pertahanan kelab Liverpool FC di Uruguay. — Agensi

KEDAH Darul Aman FC dilaporkan tidak jadi untuk mendapatkan legenda FC Seoul, Osmar Barbar yang berkhidmat untuk kelab tersebut selama 10 tahun.

Sang Kenari dikatakan telah menafikan khabar angin akan mendapatkan Osmar dan perkara tersebut telah sampai ke pengetahuan media Korea Selatan.

Oleh itu, sekiranya kisah Osmar sudah tidak menjadi kenyataan. Siapakah yang perlu Kedah cari untuk menjadi gandingan Bojan Ciger di pertahanan tengah?

Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan menyingkap tiga nama yang boleh dipertimbangkan Sang Kenari bagi menguatkan benteng pertahanan mereka:

1. Juan Izquierdo

Izquierdo merupakan sebahagian daripada pasukan Liverpool yang bukan berpangkalan di England tetapi Uruguay. Benar, ia sama tapi tidak serupa.

Pertahanan tengah berusia 26 tahun itu boleh beraksi di kedua-dua bahagian pertahanan tengah dan Izquierdo merupakan sebahagian daripada skuad Liverpool yang merangkul kejuaraan liga Uruguay pada tahun 2023.

16c3f729-izquiero-expulsado

Izquierdo merupakan pertahanan yang kental tapi kuat 'makan' kad. — Agensi

Dianggap sebagai pemain yang keras, Izquierdo merupakan pertahanan kental yang boleh menguatkan Kedah namun harus berhati-hati dengan rekod disiplinya. Hal ini kerana, musim ini saja dia sudah mengutip enam kad kuning serta satu kad merah dalam 36 penampilan untuk Liverpool.

Dinilaikan pada harga RM2 juta, Izquierdo mungkin boleh jadi pelaburan jangka panjang buat Kedah.

2. Dostonbek Tursunov

Masa kini, Malaysia sudah menjadi destinasi lazim buat pemain-pemain dari Uzbekistan. Sebagai contoh, arkitek Terengganu FC iaitu Nurillo Tukhtasinov merupakan pemain dari negara tersebut yang bermain di Liga Super.

Tursunov juga boleh menjadi sebahagian daripada senarai tersebut dengan menyertai Kedah. Beraksi untuk Pakhtakor yang merupakan gergasi bola sepak Uzbekistan, kehadirannya pasti akan menimbulkan keterujaan buat penyokong Sang Kenari.

309496_680

Tursonov boleh jadi pelengkap kepada kekuatan Ciger. — Agensi

Sama seperti Izquierdo, Tursunov boleh beraksi di kedua-dua bahagian pertahanan tengah tetapi dengan rekod disiplin yang lebih bersih. Apa yang menariknya, Tursunov merupakan seorang pertahanan tengah yang boleh menjaringkan gol. Itu memberikan isyarat yang dia berguna ketika Kedah mempunyai peluang menjaringkan gol daripada situasi bola mati.

Dinilaikan pada harga RM2.5 juta, lumrah Tursunov sebagai pemain Asia mungkin membolehkan dia cepat menyesuaikan diri beraksi di Malaysia.

3. Hong Jeong-un

Jika Kedah ingin mendapatkan pertahanan yang berasal dari Korea Selatan, mungkin Hong Jeong-un boleh dijadikan sebagai pilihan. Pertahanan Daegu FC itu boleh diberikan jolokan 'Afro Korea' kerana mempunyai gaya rambut serupa dengan pemain Selangor FC, Sharul Nazeem.

Berusia 29 tahun, Jeong-un merupakan pemain paling versatil antara tiga nama yang disenaraikan. Hal ini kerana, dia boleh bermain sebagai pemain tengah bertahan selain beraksi baik di kedua-dua bahagian pertahanan tengah.

hong

Jeong-un merupakan seorang pertahanan yang versatil. — Agensi

Jeong-un merupakan pemain yang menjadi nadi pertahanan Daegu apabila dia melakukan 30 penampilan K-League pada musim ini. Selain boleh diharap, dia juga merupakan pertahanan berdisiplin tinggi apabila kurang 'makan' kad.

Dinilaikan pada harga RM3.5 juta, ia mungkin sedikit sukar untuk didapati oleh Kedah. Tetapi jika berhasil, Jeong-un mungkin boleh menjadi kunci kejayaan Sang Kenari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram