[VIDEO] Bekas jurulatih KL City terima panggilan Mourinho lepas mara final Super Cup Mesir


  • Podium
  • Selasa, 26 Dis 2023

Formosinho (kanan) merupakan pembantu Mourinho ketika di Tottenham Hotspur. — Agensi

JARINGAN dalam dunia bola sepak itu adalah luas. Jika kita lihat satu-satu pemain atau jurulatih beraksi di Malaysia, tidak mustahil untuk mereka mempunyai kenalan daripada luar negara.

Sebagai contoh, pemain naturalisasi kebangsaan iaitu Liridon Krasniqi merupakan kenalan baik dengan bintang Borussia Dortmund iaitu Emre Can.

Begitu juga dengan bekas pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City) iaitu Ricardo Formosinho. Satu masa dahulu, Formosinho merupakan jurulatih bagi skuad Warga Kota pada tahun 2014 hingga 2015 sewaktu kelab Lembah Klang tersebut menduduki liga bawahan.

Kini, Formosinho telah berkelana di bumi Afrika dengan mengendalikan kelab Mesir iaitu Modern Future. Di sana, Formosinho mula menonjolkan kepakarannya sebagai pengurus pasukan apabila selangkah untuk membawa kejayaan buat kelab tersebut.

Baru-baru ini, Formosinho telah membawa kejayaan kepada Modern Future apabila berhasil memimpin kelab tersebut ke perlawanan akhir Piala Super Mesir.

Kejayaan itu hadir selepas Modern Future berjaya menewaskan Pyramids FC 14-13 menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan terikat 0-0 pada masa sebenar permainan.

Kemenangan itu membolehkan Modern Future bertemu dengan gergasi Mesir iaitu Al-Ahly yang akan dijadualkan pada 29 Disember kelak.

Usai berjaya membawa kelabnya ke perlawanan akhir, satu detik yang tidak diduga oleh Formosinho apabila dia menerima satu panggilan telefon dari kawan lama yang mempunyai reputasi besar dalam bola sepak.

Panggilan itu hadir menerusi pengendali AS Roma iaitu Jose Mourinho yang menelefon Formosinho sewaktu sidang media pasca perlawanan antara Modern Future menentang Pyramids FC.

Ketika sedang menjawab pertanyaan dari pihak media, telefon milik Formosinho berdering lalu dia terpaksa memotong soalan dari wartawan tersebut kerana panggilan dari Mourinho sangat penting.

"Maaf semua, saya terpaksa jawab, ia adalah (panggilan) dari Mourinho," kata Formosinho lalu menjawab panggilan tersebut.

Formosinho dan Mourinho sebelum ini pernah bekerjasama sebanyak dua kali. Kedua-duanya berlaku ketika Mourinho menjadi pengendali di England iaitu bersama Manchester United dan Tottenham Hotspur.

Menjawab panggilan telefon sewaktu sidang media adalah satu perkara yang jarang dilakukan oleh pengurus. Lazimnya, mereka tidak akan menjawab panggilan tersebut malah akan memarahi wartawan jika telefon mereka yang berbunyi ketika sidang media. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram