MUSIM ini menyaksikan Terengganu FC mempunyai beberapa nama pemain import yang berjaya menunjukkan kredibiliti mereka.
Nama-nama seperti Habib Haroon dan Ivan Mamut antara individu yang berhasil menunjukkan kualiti mereka sebagai pemain walaupun ada yang lambat 'panas'.
Satu lagi nama yang menarik perhatian adalah pemain tengah dari Uzbekistan iaitu Nurillo Tukhtasinov. Masuk pada pertengahan musim, impak yang diberikan oleh pemain tengah itu berjaya mencuri tumpuan ramai.
Dikatakan menyerupai kualiti yang ada pada bekas pemain import Terengganu yang juga dari Uzbekistan iaitu Sanjaar Shakhmeedov, Nurillo dianggap sebagai antara rekrut baik berjaya dilakukan skuad Penyu pada musim ini.
Dengan beberapa nama kini bakal meninggalkan Terengganu untuk musim depan, Nurillo dijangka akan kekal bersama-sama skuad Penyu bagi memastikan cabaran pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner terus menyala musim depan.
Nurillo (kiri) mempunyai kualiti tinggi sebagai pemain tengah. — Facebook/Terengganu FC
Melihat kepada pemergian Haroon ke pasukan lain, jersi nombor 10 di Terengganu kelihatan kosong dan oleh itu ada yang mahu Nurillo mewarisinya.
Bukan itu saja, ada yang turut mahukan Nurillo menjadi ketua pasukan Terengganu musim depan.
"Pakai nombor 10 pula tahun depan," kata penyokong bernama Ridzuan Musa.
"Terbaik dia ni, jadikan kapten, (beri) nombor 10. Bila main, lari tak berhenti, sangat rajin," ujar Adam Muhammad.
Musim ini, Nurillo melakukan 10 penampilan dalam Liga Super sambil menyumbat satu gol. Dia juga bermain dalam semua perlawanan melibatkan Terengganu dalam saingan Piala AFC.
Kehadirannya di padang membuatkan penyokong berasa lebih yakin kerana kualiti yang ada pada Nurillo menjadikan Terengganu lebih ampuh.
"Pemain penting ni. Rajin dan lorongan (bola) yang padu-padu. Pemain terbaik," ujar penyokong bernama Man Bundles.
"Memang terasa kekuatan dia apabila bermain untuk Terengganu," kata Samson Moussa pula.
"'Barang' muda lagi ni. Makin padu tahun depan," komen Ahmad Huzaifah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram