Lembah Klang atau Sri Pahang, bintang JDT dilema pilih destinasi baharu


  • Podium
  • Jumaat, 22 Dis 2023

Syazwan (kiri) ketika sesi latihan bersama JDT pada 2019. — Facebook/JDT

DALAM konteks pemain pinjaman, kualiti persembahan pada saingan musim ini akan menentukan masa depan mereka sama ada akan kembali ke pangkuan kelab lama, menerima tawaran berbeza ataupun dikekalkan membantu memperkuatkan pasukan pada tahun depan.

Pemain pinjaman yang hadir ke sesuatu kelab pada awal musim sering kali memberi impak mendalam kepada penyokong sehingga kebiasaannya ramai peminat dan pihak kejurulatihan pun ingin mengekalkan khidmat mereka.

Situasi tersebut nampaknya berlaku dalam kem Sri Pahang apabila dilaporkan pemain pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT), Syazwan Andik difahamkan sedang dipertimbangkan untuk dikekalkan pada saingan musim depan.

Pemain berusia 27 tahun itu memperkuatkan benteng pertahanan Sri Pahang pada awal musim ini selepas tempoh pinjamannya bersama Melaka United berakhir dek kelab berkenaan diturunkan pangkat ke saingan Liga M3.

Selepas semusim bersama skuad Tok Gajah, bekas pemain Kuala Lumpur berkenaan berhasil melonjakkan semula kariernya dengan menjadi pemain kepercayaan Fandi Ahmad untuk mengisi posisi bek kiri Tok Gajah.

WhatsApp Image 2023-12-22 at 10.20.40

Syazwan musim ini tampil dalam 21 perlawanan Liga Super pada musim ini. — Facebook/SriPahang

Bukan itu sahaja, Syazwan yang mesra dengan sapaan Pelo itu juga menunjukkan kerajinannya dalam membantu bahagian serangan Tok Gajah apabila mencetak dua jaringan gol dan membuat tiga hantaran bantuan untuk Sri Pahang musim ini.

Dengan sumbangan diberikan bekas pemain Harimau Muda itu, tidak hairanlah jika Sri Pahang menerima pencabar dari sebuah kelab Lembah Klang yang juga difahamkan sedang memancing khidmat bek kiri itu.

Menerusi ciapan dari pemerhati bola sepak tanah air, Zulhelmi Zainal Azam di platform X, bekas pemain kebangsaan tersebut menerima tawaran sebuah kelab handalan Liga Super berlokasi di Lembah Klang.

"Pelo kekal Pahang atau ke Lembah Klang. Syazwan Andik difahamkan terima lamaran sebuah kelab handalan Liga Super ketika masih menanti status sebagai pemain pinjaman Sri Pahang," tulisnya pada Jumaat.

Walaupun nama kelab Lembah Klang itu tidak disebut namun Kuala Lumpur (KL) City FC, PDRM FC ataupun Selangor FC yang kini sedang mempersiapkan pasukan demi saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) berkemungkinan bakal menjadi destinasi baharu Syazwan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram