[VIDEO] ‘Persahabatan sentiasa tewaskan kekasih', ramai syahdu andai Aney betul-betul tinggalkan Sang Penyu


  • Podium
  • Selasa, 26 Dis 2023

Prestasi Azam yang konsisten sepanjang bersama skuad Sang Penyu jelas menaikkan namanya. — Facebook/Terengganu FC

KHABAR angin kuat mengatakan Johor Darul Takzim (JDT) mahu membawa masuk beberapa pemain baharu untuk bersaing dengan lebih hebat di pentas Asia musim depan.

Meskipun cengkaman mereka di peringkat domestik sukar ditandingi, persembahan dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim ini masih belum cukup untuk memuaskan hati pihak pengurusan.

Jadi, dalam merealisasikan hasrat berkenaan, skuad Harimau Selatan difahamkan sedang dalam usaha membawa masuk beberapa nama baharu, termasuk bek kanan Terengganu FC, Azam Azmi Murad.

Pemain yang dikenali sebagai Aney itu mula mencuri nama selepas persembahannya yang cukup matang sejak mencipta debut di peringkat senior dua musim lalu.

Ketangkasannya dalam merebut bola daripada lawan selain membuat larian ketika membantu serangan membuatkan orang ramai sukar percaya dengan usianya yang baru sahaja mencecah 22 tahun.

241014222_1291967204567291_3734414186534135866_n

Azam merupakan bek kanan utama Sang Penyu sejak mencipta debutnya. Facebook/Terengganu FC

Ura-ura itu sememangnya sukar diterima penyokong skuad Sang Penyu yang masih belum bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pertahanan muda berkenaan.

Bagaimanapun, dengan khabar angin tersebut sudah bertiup kencang sejak beberapa musim lalu, ramai daripada mereka sudah menerima realiti bahawa Azam Azmi akan meninggalkan Terengganu FC bila-bila masa sahaja.

Malah, sebuah laman penyokong, Football Terengganu tampil memberikannya kata-kata semangat buat pemain itu sambil menyertakan sebuah video memaparkannya di samping pempengaruh media sosial, Adam Amri.

"Pada orang lain, mungkin baik untuk dia pergi ke tahap tinggi yang penuh cabaran fizikal dan mental.

"Tetapi, pada kawan rapat, agak syahdu bila tidak bersama lagi untuk lepak-lepak setiap hari. Persahabatan sentiasa tewaskan kekasih," tulisnya di laman media sosial.

Video yang memaparkan hubungan baik antara Azam Azmi dan Adam. Facebook/Football Terengganu

Berdasarkan video berkenaan, Azam dilihat mempunyai hubungan cukup baik dengan Adam dengan individu terbabit turut terlibat dalam beberapa iklan pemasaran Terengganu FC.

Hantaran itu menyaksikan majoriti besar penyokong skuad Sang Penyu memberikan kata-kata semangat buat Azam dengan mereka memasang cita-cita untuknya pergi ke tahap lebih tinggi.

"Walaupun kita nak Aney kekal, tetapi dia berhak untuk memilih masa depannya. Namun, andai kata Aney tidak mempunyai tempat di sana nanti, kita akan sentiasa mengalu-alukannya untuk pulang," kata Ihdafluz Qifays.

"Sebaiknya Azam Azmi pergi untuk kerjaya dia, main bola ni paling lama sampai umur 32 atau 34 sahaja. Mungkin di tempat baharu, dia akan raih lebih banyak pencapaian yang baik," kata SuhAiman Omar.

"Pergi sahaja, kita nak tgk pemain kita berjaya. Ini juga bermakna Terengganu berjaya melahirkan atlet yang bagus dan dipandang tinggi oleh kelab lain," tulis Hazwan Kamarudin.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram