SATU ketika dahulu, penyerang kelahiran Labuan, Ahmad Hazwan Bakri pernah dianggap sebagai peledak utama negara dengan kepantasan serta kelincahannya di atas padang sukar dibendung pihak lawan.
Dia yang memulakan kariernya secara profesional bersama Kuala Lumpur FA (KLFA) sering menampilkan prestasi memukau, termasuk ketika menyarung jersi kebangsaan.
Namanya kian meningkat apabila pemain berkenaan menerima tunjuk ajar Datuk Ong Kim Swee bersama Harimau Muda A yang beraksi dalam Liga Singapura untuk dua musim, bermula 2012.
Situasi itu menyaksikannya mencuri perhatian beberapa pasukan Liga Super yang teruja untuk mendapatkan khidmat seorang penyerang tempatan berbisa.
Meskipun menerima beberapa tawaran, Hazwan memilih untuk menyertai seteru terdekat KLFA, Selangor FA pada 2014 yang ketika itu merupakan salah sebuah kelab gergasi tanah air.
Hazwan merupakan salah seorang penyerang terbaik pernah dimiliki skuad Gergasi Merah.
Kehadiran penyerang tersebut sememangnya memperkuatkan lagi jentera serangan skuad Gergasi Merah yang pada waktu itu sudah dilimpahi pemain berkualiti seperti Paulo Rangel dan Andik Vermansyah.
Bagaimanapun, perpindahan terbabit terpalit dengan kontroversi apabila majikan lamanya mendakwa penghijrahannya dibuat tanpa mengikut prosedur yang sah.
Menurut laporan, KLFA pada awalnya meminta Selangor FA membuat pembayaran sebanyak RM200,000 untuk mendapatkan Hazwan yang sememangnya berhasrat meninggalkan skuad Warga Kota.
Namun, mereka difahamkan hanya menerima RM25,000 daripada perpindahan berkenaan dengan jumlah itu dilihat tidak berpatutan dengan kualiti dimiliki penyerang itu.
Malah jika diikutkan, skuad KL ketika itu sebenarnya hanya mahu meminjamkan Hazwan kepada Sime Darby, dan bukannya dijual kepada seteru derbi iaitu Gergasi Merah.
Situasi itu memaksa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk campur tangan dengan mengenakan denda bernilai RM34,000 terhadap Selangor.
Hazwan difahamkan bersedia meninggalkan JDT selepas tujuh tahun bersama kelab itu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Pertikaian berkenaan tidak terhenti di situ apabila KLFA enggan berdiam diri dan mengadakan pertemuan dalaman bagi menentukan tindakan selanjutnya kepada seteru mereka itu.
Bagaimanapun, isu tersebut dilihat hanya terhenti di situ apabila tiada laporan lanjut dibuat dengan FAM turut berdiam diri mengenai penghijrahan Hazwan.
Kehadiran penyerang yang kini berusia 32 tahun itu juga boleh dianggap sebagai satu rahmat buat skuad Gergasi Merah apabila dia membantu mereka menjuarai Piala Malaysia 2015.
Selain itu, gandingannya dengan rakan sepasukan menyaksikan pasukan Lembah Klang itu cukup digeruni pasukan lain dalam Liga Super.
Namun, pada 2016, Hazwan akhirnya memilih untuk meninggalkan Selangor FA apabila dia menyertai Johor Darul Takzim (JDT) dengan dia kekal bersama kelab itu sehingga hari ini.
Tetapi, khabar angin ketika ini kuat mengatakan penyerang berkenaan bakal meninggalkan skuad Harimau Selatan dengan ada juga mengatakan dia akan kembali menyertai skuad Gergasi Merah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram