KEPUTUSAN kerajaan pada 2002 membenarkan syarikat perkapalan ZIM yang berpangkalan di Israel berlabuh adalah kerana Malaysia ketika itu masih menaruh harapan kepada usaha damai antara Palestin dan Zionis.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan ketika itu juga pernah membenar pasukan kriket Israel dengan harapan rakyatnya dapat melihat bahawa penduduk Malaysia, yang majoriti beragama Islam boleh hidup bersama dengan rakyat beragama lain.
"Malangnya segala usaha itu jelas sia-sia kerana Israel selepas itu terus memperlihat sifat kebinatangannya dan terus membunuh rakyat Palestin.
"Laluan kepada ZIM juga sekadar kebenaran kepada perjalanan sesebuah kapal tanpa memperlihat sebarang sokongan kepada rejim Israel dan tindakannya membunuh rakyat Palestin.
"Ini berbeza dengan menjadi ahli dan penyokong pertubuhan pro-Zionis yang jelas mendokong cita-cita Israel melakukan penghapusan etnik orang Palestin menerusi genocide dan pembunuhan besar-besaran," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, beliau menyokong tindakan kerajaan Malaysia menyekat syarikat tersebut dari berlabuh di pelabuhan negara.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menambah, ini kerana tindakan melampau dan tiada perikemanusiaan Israel terhadap penduduk Palestin perlu dikeji dan apa-apa tindakan protes yang boleh dilakukan harus diambil.
Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memutuskan melarang syarikat ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia berkuat kuasa serta-merta.
Jelas beliau, sekatan itu adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.
Jelasnya, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat tersebut berlabuh di Malaysia, manakala pada 2005, Kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal tersebut untuk mendarat di Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram