
HARI ini, status Johor Darul Takzim (JDT) sebagai salah satu pasukan terbaik di rantau Asia Tenggara sememangnya tidak boleh dinafikan.
Infrastruktur yang serba lengkap di samping reputasi dikenali di seantero dunia meletakkan mereka jauh di hadapan pasukan Liga Super yang lain.
Bagaimanapun, kejayaan itu tidaklah datang dengan sebegitu mudah apabila pelbagai pelaburan, termasuk wang ringgit dan masa perlu dibuat pihak pengurusan.
Malah, kos operasi pasukan dilihat menelan kira-kira puluhan juta setahun dengan pulangan daripadanya dilihat cukup berbaloi di mata penyokong skuad Harimau Selatan.
Namun, pasukan Selatan tanah air itu memilih untuk mengurangkan perbelanjaan tahunan setelah melakukan perkiraan jangka masa panjang.
Kenyataan dikeluarkan JDT mengenai perancangan masa depan pasukan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Dalam satu kenyataan dikeluarkan di laman media sosial kelab, Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata, mereka akan mengurangkan pelaburan menjelang tahun akan datang.
"Setelah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk projek bola sepak termasuk insfrastruktur dalam tempoh enam hingga tujuh tahun yang lepas, JDT perlu membuat penstrukturan kewangan bagi memastikan kelangsungan jangka panjang.
"Kelab telah memutuskan untuk mengurangkan perbelanjaan sebanyak 30 hingga 40 peratus untuk membolehkan proses tersebut. Kami tidak akan membelanjakan wang. Kami akan mengurangkan perbelanjaan kami," katanya.
Jelasnya, perubahan itu bakal menyaksikan pasukan terbabit akan melepaskan beberapa pemain serta staf teknikal memasuki musim akan datang.
JDT bakal bersaing dalam pertandingan format baharu di pentas Asia musim depan iaitu Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elit dengan ia menjanjikan cabaran lebih hebat buat mereka.
Di peringkat domestik pula, JDT dilihat tidak akan berdepan masalah getir setelah mereka mudah mendominasi kesemua pertandingan untuk dua musim kebelakangan ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram