'Siapa yang sahkan ini?', Perpindahan Safawi ke Terengganu masih belum muktamad?


  • Podium
  • Selasa, 26 Dis 2023

Safawi kerap diletakkan di bangku simpanan dengan hanya dua penampilan Liga Super direkodkan bersama JDT musim ini. — Facebook/JDT

DESTINASI penyerang sayap Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid antara yang ditunggu-tunggu dengan rata-ratanya penyokong mula menimbulkan spekulasi bahawa pemain kebangsaan itu difahamkan akan kembali ke Terengganu FC (TFC) pada musim depan.

Khabar angin Safawi ke skuad Sang Penyu bermula apabila pemerhati bola sepak tanah air, Hafizal Hamad membuat ciapan - "Tidak payah sewa rumah, sebab rumah ada di Kuala Terengganu" di platform X pada awal bulan ini.

Berdasarkan perkongsian Hafizal, penyokong bola sepak tanah air berasakan individu yang cuba dimaksudkan ialah Safawi dengan umum mengetahui Terengganu adalah kampung halaman pemain berusia 26 tahun berkenaan.

Penyerang yang memulakan kariernya bersama T-Team itu sudah beberapa kali dikhabarkan bakal kembali ke Pantai Timur setelah bergelut untuk mendapatkan minit permainan di kem Harimau Selatan.

Penyokong Terengganu semakin yakin Safawi bakal kembali menyarung jersi Sang Penyu apabila pemain itu sendiri menyatakan akan menyarung jersi pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan sebagai pemain pinjaman.

“Ya... saya akan ke Terengganu secara pinjaman. Itu sahaja yang saya boleh maklumkan," kata Safawi memetik laporan Berita Harian pada 18 Disember lalu.

WhatsApp Image 2023-12-26 at 22.16.45

Tangkap layar komen dari Safawi mengenai khabar angin ke Terengganu.

Selepas penyokong Terengganu mula bergembira dengan berita berkenaan, bekas pemain pinjaman Ratchaburi itu tampil dengan kenyataan menafikan kenyataannya sebelum ini.

Bekas pemain paling bernilai Liga Super itu mengatakan sebaliknya apabila menjawab hantaran penyokong di laman Instagram yang mengalu-alukan kehadirannya ke Terengganu pada musim depan.

“Siapa yang sahkan ini? Adoii,” komennya pada satu hantaran laman penyokong, Sembang Bola.

Kenyataan terbaharu dari Safawi itu membuatkan ramai penyokong beranggapan bahawa perpindahannya ke Terengganu secara pinjaman masih belum menemui kata putus dari pihak pengurusan JDT.

Sekiranya, Safawi disahkan tidak jadi berhijrah ke Terengganu, ia pasti mengecewakan penyokong Sang Penyu yang rata-ratanya menginginkan pemain berkenaan memperkukuhkan bahagian serangan pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram